"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dr Mahathir pertimbang sertai Putra

Faiz Zainudin

PUTRAJAYA: Selepas mengumumkan keluar Pejuang, Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan akan menyertai Putra pimpinan Ibrahim Ali.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian selepas Putra hari ini menghantar jemputan kepada beliau untuk menyertai parti itu.

“Saya tidak nampak sebab saya tidak boleh terima parti ini. Saya juga akan memikirkan dan pertimbang cadangan ini,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana yang turut disertai kepimpinan Putra yang turut dihadiri Ibrahim.

Dalam perkembangan sama, Mahathir mengulangi pendiriannya sebelum ini di mana beliau tidak bersetuju dengan keputusan Pejuang yang diterajui anaknya, Mukhriz keluar daripada Gerakan Tanah Air (GTA).

Beliau juga hairan mengapa Pejuang sanggup untuk keluar GTA yang disertai pemimpin tidak terpalit dengan rasuah berbanding mahu bekerjasama dengan gabungan lain yang sudah terbukti tidak bersih.

“Kita cuba nak cantumkan orang Melayu yang bersih sebab sudah tidak banyak, kerana parti yang besar semua terlibat dengan rasuah, yang tinggal adalah parti kecil seperti Putra, Iman, Pejuang, dan Berjasa.

“Bersama dengan NGO lain tiba-tiba Pejuang kata tak mahu NGO, tidak mahu GTA, jadi bermakna bukan penyatuan tapi perpecahan lebih daripada itu.

“Jadi saya kecewa sebab itu apabila mereka buat keputusan secara rasmi bahawa mereka tidak mahu GTA sebaliknya tidak sebut mereka tidak mahu yang lain, bermakna mereka lebih utamakan yang lain termasuk parti-parti lain yang terlibat dengan rasuah, tetapi menolak GTA yang tidak ada masalah.

“Sebab itu saya berasa kecewa dan saya tunggu sehingga mereka buat keputusan rasmi dan selepas mereka buat keputusan pun saya fikir panjang dan ambil masa sebelum saya buat keputusan dan terpaksa tinggalkan Pejuang,” katanya.

Tiada ulasan: