"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Zahid Hamidi: Mulut Ramasamy memang ‘celupar’, jangan layan dia

Nora Mahpar

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi menyelar sikap Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II P Ramasamy yang terus memainkan sentimen perkauman sambil menggelarnya “bermulut celupar”.

Zahid yang juga presiden Umno, berkata beliau tidak mahu melayani sikap pemimpin DAP itu dan menyerahkan kepimpinan partinya menyelesaikan perkara berkenaan.

“Dia memang dikenali sebagai ‘loose cannon’ (mulut celupar). Kita tak patut layan, biarkan parti dia selesaikan masalah itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri rumusan bengkel dan hala tuju strategik Kementerian Pembangunan Desa Dan Wilayah (KKWD)

Baru-baru ini, Ramasamy menerusi hantaran dalam Facebook, dikatakan meminta kerajaan melaksanakan reformasi dalam sektor perkhidmatan awam kerana menurutnya ia kini didominasi orang Melayu.

Ramasamy juga mahu Perdana Menteri Anwar Ibrahim segera menangani isu berkenaan serta memastikan perkhidmatan awam mencerminkan komposisi etnik negara ini.

Semalam, Anwar dilapor berkata, kerajaan tidak akan mempertimbangkan cadangan supaya reformasi dilakukan untuk mengurangkan dominasi orang Melayu dalam sektor perkhidmatan awam.

Beliau berkata, kerajaan tidak menganggap dominasi kaum Melayu dalam sektor itu sebagai satu masalah pada masa ini.

Susulan kontroversi itu, beberapa pihak termasuk sayap Pemuda PKR Pulau Pinang mendesak Ramasamy meletakkan jawatannya berikutan kerap mengeluarkan kenyataan bersifat prejudis.

Ketua Penerangannya, Abshar Nurasyraf berkata, Ramasamy dilihat cuba mengeluarkan kenyataan bersifat kontroversi yang tidak menguntungkan rakyat mahupun negara, malah hanya menjadi liabiliti terhadap semua pihak.

Tiada ulasan: