"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ebit Lew dapat injunksi terhadap pempengaruh, wanita Indonesia

FMT Reporters

PETALING JAYA: Pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, lebih dikenali sebagai Ebit Lew mendapat perintah injunksi interim terhadap seorang pempengaruh media sosial dan wanita Indonesia untuk membuang tujuh video didakwa berunsur fitnah di media sosial.

Dita Restu Amanda ketika satu wawancara bersama pempengaruh media sosial Ariz Ramli mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual Ebit.

Ebit kemudian memfailkan saman fitnah terhadap mereka di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 29 Sept lalu.

Peguamnya Akberdin Abdul Kader berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Sayani Nor mengeluarkan perintah itu pada 5 Okt lalu.

“Kami telah menyerahkan perintah itu kepada defendan hari ini, dan mereka mempunyai 24 jam untuk mematuhi injunksi ex-parte (sebelah pihak) itu,” katanya kepada FMT.

Akberdin berkata, mahkamah menetapkan prosiding inter-partes (dua pihak) pada 18 Okt, untuk permohonan defendan mengetepikan injunksi berkenaan.

“Jika tidak dicabar, perintah itu akan berkuat kuasa sehingga kes ini diselesaikan,” katanya.

Dalam pernyataan tuntutannya, Ebit berkata kedua-dua defendan bertanggungjawab kerana mengongsikan audio siar dan enam video menerusi YouTube serta Instagram antara 15 hingga 22 Sept lalu.

Ebit berkata, hantaran berkenaan merosakkan nama baiknya dalam kalangan jutaan pengikutnya di platform media sosial, seolah-olah beliau tidak bermoral dan seorang penjenayah.

Plaintif turut menuntut permohonan maaf tanpa syarat daripada defendan yang perlu disiarkan di platform media sosial utama, selain ganti rugi dan relif lain dilihat sesuai oleh mahkamah.

Berita Harian melaporkan Ebit juga membuat laporan polis berhubung video yang tular di media sosial memaparkan wawancara dengan seorang wanita dari negara jiran, yang pernah mendapat pertolongannya.

Wanita itu mendakwa menjadi mangsa gangguan seksual seorang pendakwah bebas terkenal dari Malaysia, ketika kali pertama tiba di negara ini, tahun ini.

Tiada ulasan: