"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Serpihan dron jatuh timpa rumah, 3 termasuk budak maut

Bharianonline

MOSCOW: Serpihan dron yang ditembak jatuh di wilayah Belgorod, Russia, yang terletak bersempadan dengan Ukraine, telah menimpa kediaman sehingga mengorbankan tiga mangsa, termasuk seorang kanak-kanak.

Gabenor wilayah itu, Vyacheslav Gladkov, berkata sistem pertahanan udara menembak jatuh pesawat jenis UAV (kenderaan udara tanpa pemandu) menghampiri bandar terbabit, dan serpihannya jatuh memusnahkan beberapa rumah.

"Tiga orang terbunuh dan seorang daripadanya adalah kanak-kanak. Pagi yang sukar untuk kita semua. Kami semua sedang meratapinya," katanya sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa, hari ini.

Dalam hantaran dimuat naik melalui Telegram itu, beliau turut menyertakan gambar sebuah rumah yang runtuh di belakang pita penghadang polis.

Terdahulu, beliau berkata, mayat masing-masing seorang lelaki dan wanita ditemui dalam runtuhan, manakala masing-masing seorang lagi lelaki dan wanita yang mengalami kecederaan sudah dibawa ke hospital.

Katanya, lelaki terbabit koma dan mengalami luka melecur yang serius, manakala wanita berkenaan pula mengalami gegaran otak dan patah kaki. Doktor mengesahkan keadaan wanita itu sebagai serius.

Beliau berkata, akibat serpihan dron yang jatuh itu, dua bangunan kediaman musnah dan beberapa bangunan lain serta kereta rosak.

Awal pagi tadi Kementerian Pertahanan Russia dalam hantaran melalui Telegram berkata, cubaan serangan dron Ukraine di wilayah Belgorod berjaya 'digagalkan' sekitar jam 11:50 malam kelmarin. Bagaimanapun, ia tidak menyebut mengenai kematian. - AFP

Tiada ulasan: