"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tanpa laporan polis, bagaimana dakwaan MP Kuala Kangsar diugut boleh dipercayai?

Shahbudin Husin

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainuddin mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid telah diugut untuk memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.

Katanya, Iskandar Dzulkarnanin telah diugut sama ada memberi sokongan kepada Anwar atau menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Adalah dipercayai intimidasi dan ugutan inilah yang digunakan ke atas Ahli Parlimen Kuala Kangsar bagi mendapat sokongan agar kerajaan Madani kembali memperoleh sokongan dua pertiga majoriti di Parlimen.

“Pada 1 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnan telah dibawa untuk bertemu dengan seorang pegawai tertinggi SPRM di sebuah lokasi hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang telah pun disediakan lebih awal untuk menyokong kerajaan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Terdahulu daripada itu, pada 26 September, Hamzah mendakwa, Islandar Dzulkarnan telah didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang didakwanya mempunyai hubungan rapat dengan Anwar.

“Beliau telah ditekan dan didesak untuk menyokong Perdana Menteri serta dijanjikan habuan wang ringgit dan kedudukan dalam beberapa syarikat,” tambahnya lagi.

Menurut Hamzah, Iskandar Dzulkarnain dilihat dalam keadaan tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadapnya ketika bertemu Pengerusi PN, Mahiaddin Md Yasin baru-baru ini.

“PN pada masa yang sama kesal di atas kenyataan media yang dibuat secara terburu-buru oleh Iskandar Dzulkarnan dengan menggunakan hujah peruntukan pembangunan sebagai alasan dan ini amat berbeza dengan penjelasan yang diberikan kepada beberapa pemimpin parti sebelumnya,” kata Hamzah.

Dia juga mendakwa kerajaan pimpinan Anwar berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Sebelum bergelar Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Iskandar Dzulkarnain ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu atau Peja.

Difahamkan, kes yang cuba dikaitkan untuk menekan Iskandar Dzulkarnan adalah berkaitan beberapa urusan semasa beliau memegang jawatan tersebut.

Melihat kepada segala dakwaan yang dibuat Hamzah ini, serta senarai nama beberapa individu yang didakwanya telah melakukan ugutan terhadap Iskandar Dzulkarnain, kononnya mereka itu dipergunakan oleh Perdana Menteri, persoalan utamanya di sini – sudahkah beliau membuat laporan polis sebelum mengeluarkan kenyataan medianya itu?

Tidakkah sepatutnya PN membuat laporan polis terlebih dahulu sebelum membuat segala dakwaan tersebut?

Diugut melalui media sosial pun biasanya seseorang itu akan buat laporan polis, takkan dakwaan ugutan sebegini cukup dengan kenyataan media saja?

Jika tiada laporan polis dibuat, bagaimana segala dakwaan itu ternampak ada kebenaran dan boleh dipercayai?

Tiada ulasan: