Reza A Hamid
MELAKA – Seorang guru sekolah maahad dijatuhi hukuman denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan memperdaya dua wanita untuk pinjaman wang sehingga melakukan seks dan menyimpan gambar lucah.
Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ahmad Saifullah Abdul Khalid, 33, membuat pengakuan bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua yang dibacakan berasingan, tertuduh telah menipu dua wanita berusia 19 dan 33 tahun dengan memperdayanya untuk mempercayai tawaran pinjaman berjumlah RM300 dan RM2,000 adalah wujud.
Kesalahan itu kemudian mendorong mereka untuk melakukan hubungan seks dengannya yang mana mereka tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan tertuduh.
Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di dua lokasi berasingan pada kira-kira pukul 12.40 pagi 21 Mac 2023 di De’ Mawardah Inn Hotel, Jalan PM4, Plaza Mahkota dan sekitar 11 pagi 1 Oktober 2023 di Jalan Tebing Tinggi, Bukit Baru dalam daerah Melaka Tengah.
Oleh demikian, tertuduh boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan
Manakala bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didapati memiliki tujuh keping gambar lucah di dalam telefon bimbitnya.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah sekolah maahad di KM11, Solok Gaung, Bukit Lintang dalam daerah Melaka Tengah kira-kira pukul 1.50 petang 3 Oktober lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 292(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh mengenali kedua-dua wanita itu melalui aplikasi WhatsApp dan Omi sebelum menawarkan mereka pinjaman wang dengan syarat melalukan hubungan seks dengannya.
Bagaimanapun, mereka tidak mendapat wang pinjaman yang dijanjikan selepas itu.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya, memohon dikenakan hukuman denda dan tidak dipenjara kerana perlu menanggung kedua ibu bapa dan isteri yang masih belajar selain dua anak yang masih kecil.
Tertuduh juga mengaku sudah insaf dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan itu
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Asnini Kamarudin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.
Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Majistret Sharda Shienha menjatuhkan hukuman denda RM3,500 bagi setiap pertuduhan di bawah Seksyen 417 atau tiga bulan penjara jika gagal bayar.
Manakala bagi pertuduhan menyimpan gambar lucah, tertuduh dikenakan denda RM5,000 atau 10 bulan penjara jika gagal bayar. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan