"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Suami isteri ditahan cuba dapatkan pasport untuk kanak-kanak warga asing

KHAIRUL MOHD. ALI
SEPASANG suami isteri warga tempatan ditahan selepas didapati cuba mendapatkan pasport Malaysia untuk seorang kanak-kanak lelaki warga asing di Kulai, Johor, semalam.
JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor Cawangan telah berjaya mematahkan cubaan mendapatkan pasport Malaysia melalui pemalsuan identiti di Kulai, pada pukul 10 pagi, semalam.

Pengarah Imigresen Johor, Baharuddin Tahir berkata, cubaan itu dikesan Pegawai Imigresen yang bertugas di Kaunter Penerimaan agensi berkenaan.

Menurut beliau, sepasang suami isteri warganegara Malaysia menggunakan dokumen milik anak kandung mereka untuk memohon Pasport Antarabangsa Malaysia bagi seorang kanak-kanak lelaki warga Sri Lanka.

“Pasangan itu turut dipercayai menerima sejumlah bayaran daripada seorang individu yang masih bebas untuk berbuat demikian.

“Soal jawab terhadap kanak-kanak lelaki warga asing tersebut gagal mencurigakan apabila dia tidak dapat menjawab soalan diberi, sebaliknya pasangan suami isteri terbabit sahaja yang menjawab soalan sekali gus menimbulkan rasa curiga.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, kanak-kanak lelaki warga asing itu tidak bersekolah di sekolah sepertimana dinyatakan pasangan tersebut. Dia juga tidak boleh berbahasa Melayu dan hanya menjawab soalan apabila ditanya dalam Bahasa Inggeris,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Baharuddin, pihaknya kemudian bertindak menahan pasangan berkenaan kerana dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 12(A) Akta Pasport 1966.

“Imigresen Malaysia tidak pernah melantik mana-mana ejen atau wakil untuk menjalankan urusan Imigresen. Jabatan ini menasihati orang ramai agar tidak terpedaya dengan janji manis pihak yang menjanjikan pulangan lumayan dengan menjual sebarang dokumen diri sama ada untuk tujuan eksploitasi dan sebagainya.

“Sekiranya didapati bersalah, mereka bakal berdepan dengan hukuman berat,” ujarnya sambil meminta kerjasama masyarakat menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti menyalahi undang-undang di kawasan mereka.-KOSMO! 

Tiada ulasan: