"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pasangan suami isteri siswazah Usim serta 20 ahli keluarga maut serangan di Gaza

Latifah Arifin
am@hmetro.com.my
MOHAMMED, isterinya, Kholoud dan empat daripada lima anak mereka, Hasan, 13, Obaida 9, Khalid, 7, dan Amro, 4, maut dalam serangan rejim Israel di perkampungan mereka di Bait Hanon, utara Gaza. FOTO ihsan pembaca
MOHAMMED, isterinya, Kholoud dan empat daripada lima anak mereka, Hasan, 13, Obaida 9, Khalid, 7, dan Amro, 4, maut dalam serangan rejim Israel di perkampungan mereka di Bait Hanon, utara Gaza. FOTO ihsan pembaca
Kuala Lumpur: Pasangan suami isteri yang juga siswazah di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) bersama empat anak mereka meninggal dunia akibat serangan bom rejim Zionis di Gaza, Palestin, kelmarin.

Usim dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook rasminya sejam yang lalu berkata, perkara itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H M Mahariq.

"Usim melahirkan rasa dukacita di atas pemergian dua siswazah dan lebih 20 orang ahli keluarga mangsa akibat serangan bom rejim zionis di Gaza, Palestin pada pagi Ahad yang lalu.

"Salam takziah daripada seluruh warga Usim, moga roh mereka ditempatkan bersama-sama orang beriman," kata kenyataan itu.

USIM dalam kenyataan sama turut memaklumkan, serangan bom itu berlaku di perkampungan didiami mereka, di Bait Hanon kira-kira 8 pagi, Ahad lalu.

"Dalam kejadian itu, hanya seorang anak mangsa dilaporkan terselamat.

"Menurut Pengerusi Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia, Badereddin Seyam, turut terkorban adalah 20 ahli keluarga mangsa," katanya.

Tambahnya, Mohammed J H Alzaanin baharu sahaja selesai menjalani sesi viva di Usim pada 5 Julai lalu, manakala isterinya dijadualkan menduduki ujian sama pada 23 Oktober depan.

Dalam pertempuran yang bermula Sabtu lalu, jet Israel terus mengebom kawasan Palestin di Bandar Gaza.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 560 orang termasuk berpuluh-puluh kanak-kanak terbunuh, manakala 2,900 orang cedera, demikian.
---

'Saya sedih tapi bangga dia mati syahid'

Amir Abd Hamid, Suhanna Iskandar dan Elysa Amirah
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: "Allahyarham Dr Mohammed J H Alzaanin selalu membandingkan betapa amannya Malaysia yang dirahmati Allah SWT.

"Namun walaupun Palestin sering bergolak tetapi dia tetap bangga bahawa warga Palestin diberi kekuatan luar biasa tidak pernah ada pada mana-mana rakyat lain, iaitu tidak takut mati syahid walaupun sekelumit," kata Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Prof Madya Dr Khairunneezam Mohd Noor.

Beliau menceritakan mengenai pelajar universiti itu, Dr Mohammed, 35, yang terkorban dalam serangan pengeboman rejim zionis Israel di Gaza, Palestin, kelmarin.

Selain Mohammed yang juga penuntut program Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia, isterinya, Kholoud M H Elzaneen, 30-an yang mengikuti Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan) Fakulti Sains dan Teknologi Usim turut terkorban.

Empat daripada lima anak pasangan siswazah berkenaan iaitu Hasan, 13, Obaida 9, Khalid, 7, dan Amro, 4, juga maut dalam serangan 8 pagi oleh rejim Israel di perkampungan mereka di Bait Hanon, utara Gaza.

Turut terkorban adalah 20 ahli keluarga sanak-saudara mereka.

Hanya anak sulung pasangan berkenaan iaitu, Jameel, 15, terselamat dalam serangan kejam rejim Zionis yang mensasarkan orang awam itu.

Mengulas mengenai tragedi menyayat hati itu, Khairunneezam yang juga penilai pembentangan viva-voce Allahyarham Mohammed berkata, beliau menerima berita sedih itu daripada rakan yang mempunyai hubungan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Palestin serta media massa.

"Saya sangat terkejut dan sedih. Tetapi bangga sebab dia mati syahid. Dia pulang ke Palestin tak silap saya pada 10 September lalu.

"Saya adalah penilai pembentangan viva-voce beliau pada Jun lalu. Kali terakhir bertemunya sekitar Julai atau Ogos semasa beliau sedang membuat pembetulan laporan penulisan tesis akhirnya.

"Dalam beberapa tahun awal pengajiannya, Allahyarham sememangnya selalu hadir ke fakulti dan berbincang dengan saya dan rakan pensyarah lain berkenaan perkembangan penulisan beliau," katanya.

Menurutnya, Mohammed adalah seorang kakitangan kerajaan difahamkan di Kementerian Dalam Negeri di Palestin.

Beliau berkata, Mohammed mendaftar ke Usim membuat pengajian sarjana bersama-sama isterinya di Fakulti Sains dan Teknologi seterusnya pelajar itu menyambung PhD di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

"Keperibadian beliau, mengikut pandangan saya, memang menunjukkan nilai warga Palestin sejati. Amanah, rajin, berdisiplin, menjaga agama, berani berkorban untuk negara dan agama, kuat semangat dan amat bersopan-santun.

"Kalau bicara mengenai Palestin, Allahyarham bukanlah yang suka ke hadapan dan bercakap mengenai perjuangan secara terang-terangan dan melulu.

"Tetapi jika berpeluang duduk bersamanya bersendirian atau dalam kumpulan perbincangan formal, tanyalah mengenai bumi anbia itu, pasti dia akan menyebut kemenangan hampir dalam genggaman. Yang hak adalah hak, batil adalah batil, itu antara 'zikir' yang selalu disebutnya.

"Sebutlah apa pun senjata dan ancaman seperti peluru, peluru getah, bom asap, bom sebenar, rifal atau apa saja yang menjadi satu bentuk kegerunan mungkin pada rakyat negara kita yang aman damai ini, tetapi itu adalah 'pemandangan biasa' saban hari sejak kecil yang dilalui Mohammed," katanya.

Khairunneezam berkata, pada masa ini beliau tidak putus mendoakan keselamatan rakyat Palestin terutama seorang lagi pelajarnya, Bahaeldeen di Gaza.

"Dua hari lalu saya ada menerima mesej WhatsApp daripada Bahaeldeen yang menjelaskan kawasan rumah dia juga kena bedilan Israel. Namun selepas itu sampai hari ini senyap, saya tak dapat lagi khabar beritanya," katanya.

Tiada ulasan: