Shahrul Shahabudin
PETALING JAYA: PAS dalam kerugian sekiranya membuat keputusan memilih bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad sebagai calon menjelang PRK Kemaman, kata penganalisis.
Hubungan rapat Mahathir dengan parti itu dan Perikatan Nasional mencetuskan khabar angin Mahathir akan diletakkan sebagai calon PAS di kawasan itu.
Bagaimanapun, Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia, berkata PAS akan mengalami pengurangan majoriti berbanding kemenangan parti berkenaan sebelum ini memandangkan ada kalangan ahli parti keberatan mengundi Mahathir, yang juga bekas presiden Umno.
Sambil menyatakan kenyataan negatif terhadap PAS ketika berkuasa sebagai perdana menteri sebagai faktor utama, Fauzi berkata kenyataan terdahulu mungkin kembali menghantui Mahathir, jika bekas perdana menteri dua kali itu bertanding.
Fauzi berkata, selain itu usia Mahathir dan tahap kesihatan juga mungkin menjadi penghalang.
“Adalah lebih baik jika Mahathir berfungsi sebagai tokoh inspirasi dalam ceramah Perikatan Nasional mengambil kira beliau sudah mencapai kemuncak dalam kariernya sebanyak dua kali, sepanjang hampir 25 tahun.
“Tiada keperluan menamatkan kehidupan politiknya sebagai Ahli Parlimen PAS, parti yang sering kali dijadikan kritikan ketika pentadbirannya,” katanya kepada FMT.
Pada Rabu, sumber terdekat Mahathir memberitahu FMT bahawa PAS berkemungkinan akan mencalonkan Mahathir memandangkan beliau boleh “mengangkat isu negeri dengan lebih baik” sebagai Ahli Parlimen, selain lebih cekap menjadi “semak dan imbang” terhadap kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim.
Namun, Naib Presiden PAS Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, parti belum berbincang calonnya bagi PRK itu.
Kerusi Kemaman dimenangi Che Alias Hamid dari PAS dengan 27,179 undi majoriti dalam pertembungan empat penjuru, pada PRU15. Kemenangan itu dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya bulan lalu selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa kepada pengundi pada kempen berlangsung dianggap rasuah.
Penganalisis lain, Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia, berkata jika Mahathir menjadi calon PAS di Kemaman, ia akan menghantar isyarat hasrat parti itu untuk bekas Ahli Parlimen Langkawi berkenaan memainkan peranan lebih besar berbanding sekadar penasihat.
Beliau berkata, strategi seperti itu bertujuan mengimbangi kekuatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil kira Ahli Parlimen pembangkang tidak mampu menandingi Anwar dalam Parlimen.
“Mahathir dilihat seorang berupaya berdepan Anwar. Ia (Parlimen) juga akan menjadi medan pertempuran baharu antara dua musuh ketat itu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan