"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Pecah amanah RM8 juta, nelayan licik ditahan

Aizat Sharif
am@hmetro.com.my
Polis membawa keluar suspek dari Kompleks Mahkamah Kangar yang dikehendaki polis berhubung kes pecah amanah sebanyak RM8 juta membabitkan penjualan tanah. FOTO AIZAT SHARIF
Polis membawa keluar suspek dari Kompleks Mahkamah Kangar yang dikehendaki polis berhubung kes pecah amanah sebanyak RM8 juta membabitkan penjualan tanah. FOTO AIZAT SHARIF
Kangar: Seorang lelaki direman lima hari sehingga 16 Oktober hadapan bagi membantu siasatan berhubung kes pecah amanah dan pemalsuan dokumen membabitkan kerugian hampir RM8 juta sejak 2018.

Reman dikeluarkan oleh Majistret Nurshahidan Abd Rahim selepas suspek berusia 47 tahun dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar sekitar jam 8.30 pagi.

Suspek dipercayai bekerja sebagai nelayan ditahan petang semalan di Alor Setar selepas enam minggu diburu polis berhubung kes berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, penahanan suspek dilakukan selepas pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pelabur warga asing yang mendakwa kerugian hampir RM8 juta selepas diperdaya oleh rakan niaganya di negara ini, pada 26 Ogos lalu.

"Mangsa mendakwa rakan niaganya dilantik sebagai pengarah syarikat bagi perniagaan pengilangan memproses serbuk ikan dan vitamin bagi pasaran tempatan serta luar negara yang beralamat di Kuala Perlis," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, siasatan mendapati kejadian bermula sejak 2018 hingga 2020 yang mana suspek mengambil kesempatan ketika sekatan perjalanan dikuatkuasakan sewaktu penularan pandemik Covid-19 melanda dunia.

"Suspek disyaki melakukan jenayah pecah amanah dan pemalsuan dokumen terhadap syarikat dengan menjual empat lot tanah milik syarikat mereka di Kuala Perlis kepada pihak ketiga.

"Perbuatan berkenaan dilakukan tanpa pengetahuan mangsa yang berada negara asalnya pada kejadian mengakibatkan anggaran kerugian sebanyak RM8 juta," katanya.

Beliau berkata, polis melancarkan operasi 'Ops Pekaka' bagi mengesan kesemua suspek termasuk peguam dan pembeli yang dipercayai berada di beberapa negeri di utara tanah air dan sekitar Lembah Klang.

"Kita percaya mereka turut diperdaya oleh suspek dan mengambil langkah awal dengan menyekat urusan diteruskan dengan memasukkan 'kaveat' atau pencegahan pendaftaran transaksi mengikut Kanun Tanah Negara (NLC) ke atas kesemua tanah milik syarikat mangsa.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 409/471 Kanun Keseksaan kerana pemalsuan dokumen dan pecah amanah," katanya.

Tiada ulasan: