"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Najib tutup akaun selepas pindah RM162 juta wang haram hasil 1MDB, kata saksi

Bernama

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini diberitahu Najib Razak menutup satu akaun miliknya di Ambank selepas memindahkan lebih RM162 juta, iaitu wang haram hasil daripada dana 1MDB Global Investment Limited ke akaun baharunya.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Foo Wei Min, 47, berkata wang dari akaun berakhir nombor 694 itu dipindahkan ke akaun berakhir dengan nombor 880 di bank sama melalui dua transaksi RM150,000,000 dan RM12,436,711.87 pada 27 serta 30 Ogos 2013.

“Baki terakhir selepas transaksi ini adalah RM0.00. Akaun lamanya (694) ditutup pada tarikh sama, iaitu 30 Ogos.”

Saksi pendakwaan ke-48 itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar pada perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang membabitkan RM2.3 bilion dana 1MDB yang dihadapi Najib.

Foo berkata, hasil siasatannya mendapati RM2,034,350,000 dikembalikan semula kepada Tanore Finance Corporation di Singapura menerusi lima transaksi antara 2 dan 23 Ogos 2013.

“Merujuk kepada hasil siasatan, FIFO dan dokumen sokongan, terdapat pemindahan keluar wang haram hasil daripada 1MDB peringkat Tanore yang diterima oleh Najib ke luar negara (akaun Tanore di Falcon Private Bank Limited) menerusi lima transaksi.

“Pemindahan itu susulan surat arahan Najib bertarikh 30 Julai 2013 dan 21 Ogos 2013 dan pihak Ambank melaksanakan pemindahan dana sebanyak RM2,034,350,000 daripada akaun 694 kepada Tanore bersamaan dengan USD620,000,000.”

Katanya, tujuan surat itu untuk memberi arahan kepada Ambank supaya meneruskan transaksi pertukaran wang asing untuk kadar yang dipersetujui bagi nilai USD620,000,000.

“Semua lima transaksi dimasukkan ke JP Morgan Chase Bank untuk dikreditkan ke akaun Tanore di Falcon Private Bank Limited, Singapura.”

Najib, 70, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung 18 Okt ini.

Tiada ulasan: