"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Gaduh kerana hutang, lelaki parah ditikam

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang lelaki parah ditikam dalam pergaduhan, dipercayai berpunca daripada masalah hutang di sebuah pasar di Lebuh Cecil, George Town, Pulau Pinang hari ini.

Ketua Polis Timur Laut, Soffian Santong, berkata pihaknya menerima maklumat kejadian itu pada 3 petang sebelum ke lokasi dan mendapati seorang lelaki 26 tahun berlumuran darah dalam keretanya.

“Pemeriksaan awal mendapati lelaki itu mengalami kecederaan luka tikaman di bahagian kaki dan perut, dipercayai ditikam menggunakan senjata tajam dan mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini, lelaki itu dilaporkan dalam keadaan stabil dan siasatan awal mendapati punca pergaduhan tersebut disebabkan masalah hutang. Siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seorang lelaki 51 tahun yang disyaki terlibat dalam kejadian itu ditahan di kawasan Macallum pada 6.40 petang tadi. Permohonan reman akan dibuat esok, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi balai polis terdekat atau pegawai penyiasat K Linkeswaran di talian 04-2181 831 bagi membantu siasatan.”

Beliau menasihati orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan gambar atau video kejadian itu.

Tiada ulasan: