"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Hizbullah 'sedia beraksi' tentang Israel bila tiba masanya

Bharianonline

BEIRUT: Gerakan Hizbullah berpusat di Lubnan yang disokong Iran hari ini menyatakan pihaknya 'bersedia sepenuhnya' untuk menyertai sekutunya Hamas dalam perang menentang Israel apabila tiba masanya.

Timbalan ketua Hizbullah, Naim Qassem, menyatakan pendirian itu ketika Hamas dan Israel saling berbalas tembakan, yang kini memasuki hari ketujuh selepas Hamas menyerang Israel pada Sabtu lalu.

Susulan serangan itu, Israel bertindak balas dengan menghujani serangan udara dan artileri ke atas sasaran Hamas di Semenanjung Gaza.

"Kami sebagai Hizbullah, menyumbang kepada konfrontasi dan akan (terus) menyumbang kepadanya dalam visi dan rancangan kami.

"Kami bersedia sepenuhnya dan apabila tiba masa untuk bertindak, kami akan memulakannya," katanya dalam perhimpunan proPalestin di pinggir selatan Beirut.

Ucapan Qassem itu bertepatan dengan lawatan Menteri Luar Iran ke Beirut, yang menggesa supaya Hizbullah tidak menyertai perang.

"Seruan oleh negara besar, negara Arab dan utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) secara langsung dan tidak langsung, meminta kami tidak campur tangan dalam pertempuran, jangan menjejaskannya, tetapi Hizbullah tahu peranannya," katanya.

Israel berperang dengan Hizbullah dan puak sekutu Palestin di Lubnan sejak kebelakangan ini, walaupun serangan balas dendam masih terhad.

Isnin lalu, Hizbullah berkata serangan Israel membunuh tiga anggotanya, manakala pejuang Palestin mendakwa cubaan menyusup masuk berjaya dipatahkan.

Israel berkata, ia merempuh pos pemerhatian Hizbullah pada Selasa, manakala sayap bersenjata Hamas mendakwa tembakan roket.

Pada Rabu, Hizbullah berkata ia menyasarkan kedudukan Israel berhampiran perkampungan Dhayra.

Tembakan balas Israel sejurus selepas mencederakan tiga orang dan menjadikan Dhayra lengang. -AFP

Tiada ulasan: