"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Alhamdulillah keluarga restui hubungan kami' - Sabri Yunus

Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengarah tersohor, Sabri Yunus selamat bergelar suami kepada Angeline Tan dalam sebuah majlis tertutup di Musalla Teduhan Doa, Kangar, Perlis jam 10.30 pagi ini.

Pasangan itu dinikahkan oleh Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan disaksikan ahli keluarga dan rakan-rakan terdekat.

Sabri ketika dihubungi Harian Metro meluahkan rasa syukur apabila hubungan serius yang dibina sejak tiga tahun lalu mendapat restu keluarga kedua-dua belah pihak.

"Walaupun saya pernah merasai detik ini, tapi suasana kali ini cukup berbeza. Saya akan bermula daripada titik baru sebab perkahwinan pertama dulu masing-masing bujang.

"Tapi hari ini masing-masing sudah mempunyai keluarga. Banyak perkara baru yang perlu kami berdua belajar, terutama Angeline yang baru memeluk Islam pada 26 September lalu.

"Alhamdulillah anak-anak dan ahli keluarga merestui hubungan kami berdua dan mereka menjadi saksi ikatan pernikahan ini," katanya.

Menurut Sabri, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19 beberapa tahun lalu menghubungkan kembali ikatan persahabatan mereka sekali gus membawa hubungan ke fasa yang lebih serius.

"Kami sudah kenal lama, sejak 1992 lagi. Hubungan kami memang rapat sebagai kawan, malah kami membahasakan diri pun abang dan adik. Selepas agak lama tidak berhubung, PKP merapatkan hubungan kami.

"Lama-kelamaan hubungan kami menjadi semakin serius dan saya pun terus bertanya kepadanya, tetapi saya memberi dia ruang dan masa untuk membuat keputusan memandangkan dia bukan wanita beragama Islam ketika itu.

"Saya beri dia masa yang panjang sebab keputusan memeluk agama Islam ini tidak boleh dipaksa. Dia perlu belajar dulu mengenai keindahannya dan tunggu sehingga dia benar-benar bersedia.

"Alhamdulillah tanggal 26 September lalu saya membantu Angeline mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan ibu dan adik-beradik saya. Kemudian kami membuat pengesahan di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan," katanya.

Dalam masa sama, Sabri mengaku terkejut apabila lakonan mereka dalam sitkom popular era 90an, Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang menampilkan aksi kemesraan akhirnya menjadi kenyataan sekali gus bergelar pasangan suami isteri.

"Selepas saya melihat semula video babak lakonan saya bersama Angeline dalam Pi Mai Pi Mai Tang Tu yang dihantar oleh beberapa kenalan hari ini, rupanya banyak babak kami bermesraan selain saya cuba mendekatinya.

"Tetapi ketika itu kami memang tiada apa-apa hubungan, sebaliknya hanya menjayakan watak yang diberikan sahaja. Saya pun tak pernah terbayang hubungan kami akan sejauh ini.

"Saya langsung tak terfikir yang Angeline akan memeluk Islam, tapi PKP menyatukan kami selepas hampir empat tahun kami tidak berhubung. Kami jarang berkomunikasi, sesekali saja dia akan bertanya khabar dan memberikan ucapan hari lahir.

"Malah sepanjang kami terbabit dalam sitkom itu pun kami tak pernah keluar berjalan bersama-sama. Kami berjumpa sebelum ini pun atas urusan kerja saja," katanya.

Ditanya sama ada majlis resepsi akan diadakan, bapa kepada tiga orang anak itu menjawab ; "Tidaklah. Hanya sekadar majlis pernikahan," katanya.

Untuk rekod, Sabri sudah hampir 16 tahun bergelar duda selepas kematian isterinya Norraya Mohd Yusof akibat penyakit kanser. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga cahaya mata.

Tiada ulasan: