"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Terpaksa lepas 2 tembakan untuk henti kenderaan bawa pendatang

Bernama

KOTA BHARU: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah tayar belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD), sebelum dapat menahan seorang lelaki tempatan yang disyaki menjadi “penghantar” bersama tujuh pendatang tanpa izin di Tumpat, dekat sini semalam.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata bertindak atas maklumat berkaitan penyeludupan migran, anggota Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) mengesan suspek 23 tahun itu memandu 4WD di depan Klinik Kesihatan Tumpat pada 6.58 petang semalam.

Pada mulanya, beliau berkata, anggota pasukan mengarahkan pemandu 4WD itu berhenti, namun suspek terus memecut kenderaannya menghala Palekbang.

“Di persimpangan lampu isyarat Palekbang, anggota pasukan menghampiri kenderaan suspek, namun lelaki itu membuat pusingan U sehingga memaksa anggota serbuan melompat ke bahagian ruang belakang kenderaan suspek untuk menyelamatkan diri daripada dilanggar,” katanya dalam kenyataan.

Bagi mengelak keadaan berbahaya kepada orang awam berdekatan, katanya, anggota PGA7 melepaskan dua das tembakan ke tayar belakang kanan menyebabkan ia pecah.

“Suspek tetap memecut kenderaan ke kawasan padang Sekolah Kebangsaan Morak, Palekbang sebelum berhenti. Hasil pemeriksaan mendapati selain suspek, ada lima lelaki dan dua wanita asing dalam kenderaan itu. Turut ditemui satu plastik lutsinar terdapat sebutir pil warna kemerahan disyaki dadah.”

Beliau berkata, semua yang ditangkap dibawa ke Balai Polis Chabang Empat untuk tindakan lanjut.

“Lelaki tempatan itu dikesan mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan kes narkotik dan ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

“Tujuh pendatang tanpa izin itu pula ditahan di bawah Akta Imigresen 1959/63. Kes disiasat di bawah Seksyen 26A ATIPSOM 2007 / 6(1)(c) Akta Imigresen 1963.”

Tiada ulasan: