Haggai Matar
Ini suatu hari yang dahsyat. Selepas terjaga oleh bunyi siren susulan ratusan roket dilepaskan ke arah bandar-bandar di Israel, kita mendengar banyak lagi berita tentang serangan kumpulan bersenjata Palestin yang tidak pernah berlaku di Semenanjung Gaza ke atas bandar-bandar Israel di sempadan semenanjung itu.
Berita tersebar mengenai sekurang-kurangnya 1,200 orang Israel terbunuh dan ribuan cedera, serta beberapa lagi dilaporkan diculik dan dibawa ke Gaza.
Sementara itu, tentera Israel sudah memulakan serangan balas ke atas Gaza, Israel bergerak di sepanjang sempadan dan serangan udara membunuh serta mencederakan ramai penduduk Palestin.
Sukar untuk membayangkan ketakutan orang awam apabila melihat tentera bersenjata di jalan raya dan di dalam rumah mereka, atau apabila melihat jet pejuang dan kereta kebal.
Serangan terhadap orang awam adalah jenayah perang dan hati saya sedih memikirkan nasib malang mangsa dan keluarga mereka.
Bertentangan dengan apa yang dikatakan ramai orang Israel, dan sementara tentera Israel jelas tidak menjangkakan serangan balas pejuang Palestin, apa yang berlaku bukanlah serangan “sepihak” atau “tanpa provokasi”.
Ketakutan yang sedang dirasai rakyat Israel sekarang, termasuk saya sendiri, hanyalah sebahagian kecil daripada apa yang dialami rakyat Palestin bawah rejim tentera Israel sejak beberapa dekad lalu di Tebing Barat serta serangan berulang ke atas Gaza.
Reaksi yang kita dengar daripada orang Israel pada hari ini — misalnya menyeru untuk “meratakan Gaza”, bahawa “mereka ganas, bukan orang yang boleh dibawa berunding”, “mereka membunuh seluruh keluarga”, “tiada ruang untuk berunding dengan orang seperti ini” — sama sahaja dengan apa yang saya dengar penduduk Palestin katakan tentang orang Israel sejak dahulu.
Serangan pagi itu juga mempunyai konteks yang lebih terkini. Salah satu ialah berkaitan perjanjian normalisasi antara Arab Saudi dan Israel.
Selama bertahun-tahun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berhujah kononnya perdamaian boleh dicapai tanpa perlu berunding dengan rakyat Palestin atau tanpa bertolak ansur.
Perjanjian Abraham telah melucutkan rakyat Palestin satu peluang mendapatkan sokongan: solidariti kerajaan Arab, walaupun solidariti itu sudah lama dipersoalkan.
Mungkin sahaja kebimbangan bakal kehilangan sokongan negara-negara Arab membuatkan pejuang Hamas benar-benar terdesak untuk melakukan serangan.
Sementara itu, sejak beberapa minggu lalu, pemerhati memberi amaran bahawa perkembangan terkini di Tebing Barat bakal membawa kepada kesan lebih berbahaya.
Sepanjang tahun lalu, lebih ramai rakyat Palestin dan Israel terbunuh berbanding tahun-tahun lain sejak Intifadah Kedua pada awal 2000-an. Tentera Israel secara berkala menyerang bandar dan kem pelarian Palestin.
Kerajaan berhaluan kanan memberi kebebasan sepenuhnya kepada peneroka untuk membina penempatan haram baharu dan melakukan pembunuhan di bandar dan kampung Palestin, dengan tentera Israel mengiringi peneroka dan membunuh atau mencederakan rakyat Palestin yang cuba mempertahankan rumah mereka.
Pelampau Yahudi juga terang-terangan mencabar "status quo" di sekitar Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis hasil sokongan ahli politik yang berkongsi ideologi mereka.
Sementara itu di Gaza pula, serangan berterusan memusnahkan kehidupan lebih dua juta rakyat Palestin yang sudah sedia hidup dalam situasi kemiskinan tegar dengan sedikit akses kepada air bersih dan hanya sekitar empat jam elektrik sehari.
Pengepungan ini tidak mempunyai sebarang kesudahan rasmi; malah laporan Pengawal Negara Israel mendapati kerajaan tidak pernah membincangkan penyelesaian jangka panjang untuk menamatkan sekatan ataupun secara serius mempertimbangkan sebarang alternatif kepada perang dan kematian yang berterusan.
Sesungguhnya, itu sahaja pilihan yang kini dimiliki kerajaan semasa atau kerajaan akan datang.
Satu-satunya jawapan yang ditawarkan kerajaan Israel kepada masalah serangan Palestin dari Gaza adalah dalam bentuk bantuan sementara: jika serangan datang dari atas tanah, kita bina tembok; jika serangan datang melalui terowong, kita bina penghalang bawah tanah; jika mereka lepaskan roket, kita sediakan pemintas; jika mereka membunuh sebahagian daripada kita, kita bunuh lebih ramai daripada mereka.
Dan begitulah seterusnya.
Semua ini tidak mewajarkan pembunuhan orang awam — kerana ia sama sekali salah.
Sebaliknya, ia bertujuan mengingatkan kita bahawa ada sebab mengapa semua ini berlaku hari ini, dan bahawa - seperti dalam semua pusingan sebelum ini - tidak ada penyelesaian ketenteraan bagi masalah Israel dengan Gaza, mahupun tentang penentangan yang secara semula jadi muncul sebagai tindak balas keganasan berciri apartheid.
Sejak beberapa bulan belakangan ini, ratusan ribu rakyat Israel berarak demi menuntut “demokrasi dan kesaksamaan” di seluruh negara. Malah ramai yang enggan menyertai pasukan tentera kerana tidak bersetuju dengan trend autoritarian kerajaan Israel.
Apa yang perlu difahami penunjuk perasaan dan tentera simpanan ini - terutamanya hari ini, kerana ramai daripada mereka sudah mengumumkan akan menghentikan protes dan menyertai perang dengan Gaza - adalah bahawa rakyat Palestin telah berjuang demi tuntutan yang sama selama beberapa dekad, selain berdepan dengan pihak Israel yang sentiasa bersikap autoritarian.
Sewaktu menulis catatan ini, saya sedang duduk di rumah saya di Tel Aviv, sambil cuba memikirkan cara melindungi keluarga saya di rumah yang tiada bilik perlindungan khas serta mengikuti dengan teliti laporan dan khabar angin tentang peristiwa penuh ngeri yang berlaku di bandar-bandar Israel berhampiran Gaza yang sedang diserang.
Saya melihat orang ramai, termasuk rakan-rakan saya, menyeru di media sosial supaya Israel menyerang Gaza dengan lebih ganas. Beberapa orang Israel mengatakan bahawa sudah tiba masa untuk menghapuskan Gaza sepenuhnya – dengan kata lain, menyeru pembunuhan beramai-ramai penduduk Palestin.
Di tengah-tengah segala letupan, ketakutan dan pertumpahan darah, bercakap tentang rundingan damai pasti dianggap sebagai suatu cadangan gila oleh mereka ini.
Namun saya sedar bahawa semua yang saya alami sekarang, dan tentu turut dirasai setiap orang Israel pada saat ini, sebenarnya menjadi pengalaman hidup harian bagi berjuta-juta rakyat Palestin sejak sekian lama.
Satu-satunya penyelesaian adalah dengan menamatkan amalan apartheid, penjajahan, dan pengepungan, serta mempromosi masa depan berdasarkan konsep keadilan dan kesaksamaan untuk semua orang.
Langkah ini bukan semata-mata di tengah-tengah pengalaman seram yang kita sedang alami – sebaliknya, langkah ini adalah adalah kerana pengalaman seram itu. - +972 magazine
HAGGAI MATAR seorang wartawan dan aktivis politik Israel. Dia merupakan pengarah eksekutif +972 magazine.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan