"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Perlis: Bekas tentera didakwa di mahkamah kerana bunuh isteri

FMT Reporters

Suspek, seorang bekas tentera berusia 38 tahun, sebelum ini direman seminggu, bagi membantu siasatan terhadap kematian isterinya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang bekas tentera dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar hari ini atas tuduhan membunuh isterinya di Arau, Perlis, bulan lepas

Indera Zailan Mohamad Sani, 38, mengangguk faham selepas tuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Siti Nor Haliza Md Ali, lapor Utusan Malaysia.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Munirah Abu Bakar di sebuah rumah di Batu 3/4 Jalan Padang Nyu antara 10 malam pada 29 Sept hingga 6.45 pagi 30 Sept.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Asyraf Md Kamal dan Mohd Izham Ali manakala tertuduh diwakili peguam Hari Prassaad Rao.

Mahkamah menetapkan 17 Nov bagi sebutan semula kes.

Dilaporkan sebelum ini bahawa seorang jururawat meninggal dunia selepas ditikam pada dada dalam kejadian yang dipercayai bermotifkan cemburu.

Mayat wanita itu ditemukan di bilik tidur dalam keadaan berlumuran darah dan ditutup selimut tebal, selepas suspek, iaitu suaminya, menyerah diri di IPK Perlis.

Siasatan awal mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

Tiada ulasan: