"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

‘Sarjan boleh memiliki Alphard, Vellfire, Mercedes?’

Buletintv3

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain.
KUALA LUMPUR: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi amaran keras terhadap pegawai bawahannya supaya berhenti bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Sehubungan itu, katanya, pegawai jabatan itu perlu berubah atau mereka akan diubah.

Amaran itu dikeluarkan kerana akan wujud situasi pegawai polis yang sanggup membunuh antara satu sama lain disebabkan wang.

“Perkara ini berlaku disebabkan tiada penyeliaan di bawah (peringkat kontinjen dan daerah) untuk memantau dan melihat cara hidup pegawai dan anggota bawahan mereka.

“Seorang sarjan boleh memiliki Alphard, Vellfire, Mercedes? Apakah pegawai atasan bertanya, ada buat pengisytiharan harta? Benda itu semua sudah ada dalam arahan,” katanya dalam Majlis Amanat Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, semalam.

Majlis amanat itu dihadiri oleh Ketua-Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Kontinjen dan Ketua-Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) seluruh negara.

Menerudi klip video majlis itu yang dimuat naik di Facebook rasmi PDRM, Mohd Shuhaily berkata, penyeliaan pegawai atau penyelia atasan adalah sebahagian daripada arahan penugasan PDRM.

Ucapan Mohd Shuhaily tular di media sosial sejak semalam.

Mohd Shuhaily berkata, beliau menyedari terdapat penyelewengan yang dilakukan oleh kalangan pegawai dan anggota polis.

“Sebab itu ada antara pegawai dan anggota di bawah penyeliaan anda buat benda merapu-rapu, sebab apa, sebab bosnya sendiri tak ambil port (tak ambil peduli). Bukan setakat tak ambil tahu malah bos pun sama.

“Pergi beli kereta mewah berdua, kau ambil nombor ini, aku ambil nombor ini. Pergi dengan sarjan. Ada tak berlaku? Senyap. Sebab ini memang berlaku dalam pasukan,” katanya.

Beliau memberi amaran kepada semua 130 KBSJD yang gagal menjalankan tugas mengikut arahan pasukan PDRM.

Katanya, pegawai terbabit bukan sahaja akan dipindahkan tetapi juga satu notis cadangan dikeluarkan agar tiada kenaikan pangkat diberikan.

“Ini sebab mereka tidak layak diberi tanggungjawab menyelia orang lain dengan pangkat lebih tinggi sedangkan dengan pangkat sedia ada pun anda gagal,” katanya sambil menambah jawatan yang disandangnya bukan menjadikan dirinya lebih mulia atau lebih pandai tetapi akan digunakan untuk melaksanakan amanah yang Allah berikan.

Tiada ulasan: