"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Ancaman bom gedung beli-belah di JB, ratusan dipindahkan

Alyaa Alhadjri

Beratus-ratus pengunjung telah dipindahkan dari sebuah pusat membeli-belah di Johor Baru petang ini berikutan ancaman bom yang datang melalui panggilan telefon kepada pihak pengurusannya.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat ketika dihubungi mengesahkan operasi sedang dijalankan di Mid Valley Southkey membabitkan kira-kira 100 pegawai termasuk pasukan pemusnah bom.

"Polis masih tengah buat sweeping. Kawasan ground floor, tempat parking semua telah diperiksa dan tidak ditemui apa-apa.

"Dalam bangunan, kedai-kedai kita cuma boleh periksa kawasan yang belum tutup,” kata Kamarul Zaman kepada Malaysiakini.

"Setakat ini tak ada lagi ditemui. Tak ada letupan apa-apa.

"Jangka akan selesai operasi malam ini.,” katanya kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Kamarul Zaman berkata ketua polis daerah Johor Bahru Selatan akan mendedahkan lebih banyak maklumat selepas operasi selesai.

Pusat beli-belah di Mid Valley Southkey mengandungi 2.5 juta kaki persegi kawasan runcit, dengan 260 kedai runcit di enam tingkat.

Sementara itu, pihak pengurusan sebuah pasar raya di Johor Bahru mengesahkan menerima laporan ancaman keselamatan melalui panggilan telefon tanpa nama.

"Pihak berkuasa berkaitan, termasuk Polis Diraja Malaysia dan Bomba segera dimaklumkan.

“Kami boleh mengesahkan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa yang berkaitan sedang berjalan dan kami membantu mereka.

"Kami telah diarahkan oleh pihak berkuasa untuk mengosongkan kawasan yang terjejas sebagai langkah proaktif. Pihak pengurusan pusat membeli-belah membantu dalam kelancaran pemindahan Pusat Beli-belah dan Hotel.

"Keselamatan tetamu, pembeli, penyewa, pekerja dan komuniti kami tetap menjadi keutamaan kami," kata pengurusan The Mall, Mid Valley Southkey (the Mall) dan St. Giles Hotel Southkey (Hotel) pada satu hantaran di media sosial.

Dalam perkembangan berkaitan, Pejabat Konsulat Jeneral Singapura di Johor Bahru memaklumkan pihaknya menyedari laporan bahawa pengunjung ke Mid Valley Southkey Mall dan Hotel St Giles di Johor Bahru telah diminta berpindah buat sementara waktu berikutan dakwaan keselamatan dan keselamatan.

"Rakyat Singapura di kawasan sekitar dinasihatkan supaya berhati-hati, memantau berita tempatan, dan mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

"Rakyat Singapura juga amat digalakkan untuk mendaftar secara elektronik dengan MFA di https://eregister.mfa.gov.sg jika mereka belum berbuat demikian.

"Rakyat Singapura yang memerlukan bantuan konsular segera boleh menghubungi Konsulat Jeneral di +60 19 791 1166 atau Pejabat Tugas MFA 24 jam di +65 6379 8800 / 8855," katanya pada hantaran di Facebook.

Tiada ulasan: