"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

'Kemenangan pejuang Palestin semakin hampir'

Amir Abd Hamid
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Perkembangan terkini perang Israel-Palestin sebenarnya juga akan menaikkan semangat umat Islam di seluruh dunia menentang kekejaman rejim Zionis.

Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani Universiti Malaya (UM), Prof Dr Nazari Ismail, berkata konflik yang sudah mengorbankan banyak nyawa itu menyatukan dunia untuk membantu perjuangan pembebasan Palestin daripada cengkaman zalim penjajah Israel di bumi anbia sejak sekian lama.

"Ia juga akan menghancurkan rancangan jahat Zionis dan Amerika Syarikat (AS) yang mempunyai pelan supaya berlaku normalisasi hubungan antara negara Islam dan Israel.

"Sudah pastinya umat Islam akan begitu menyekat sebarang usaha normalisasi hubungan dengan Israel," katanya.

Beliau berpendapat, memandangkan sokongan kepada perjuangan Palestin semakin kuat dan semangat rakyat Israel semakin lemah, kemenangan pejuang Palestin adalah semakin hampir.

"Insya-Allah, kemenangan tentu di pihak perjuangan pembebasan Palestin. Bila ia akan berlaku hanya dalam pengetahuan Allah SWT Yang Maha Mengetahui," katanya.

Beliau berkata, dunia patut campur tangan kerana Israel secara jelas melakukan jenayah perang dan jenayah apartheid terhadap warga Palestin.

"Paling baik negara Islam bekalkan senjata kepada pejuang Palestin, paling minima negara Islam kena seru seluruh masyarakat dunia memboikot Israel dan memboikot semua syarikat yang membantu kezaliman Israel.

"Apa pun, serangan berani oleh pejuang Hamas terhadap Israel disifatkan sebagai satu `game changer' yakni kejadian yang akan merubah situasi di Palestin, khususnya Gaza.

"Serangan itu akan menaikkan semangat juang seluruh warga Palestin, menyatukan mereka menentang rejim Zionis Israel laknatullah," katanya.

Israel dihujani serangan roket yang tidak pernah berlaku sebelum ini dari Semenanjung Gaza pada pagi Sabtu lalu.

Tentera Israel mendakwa Hamas melancarkan lebih 3,000 roket.

Tentera rejim Zionis Israel memperhebatkan serangannya di Semenanjung Gaza dengan keganasan tidak menunjukkan petanda reda di wilayah selatan didudukinya secara haram, manakala ketegangan terus meningkat di kawasan sempadan dengan Lubnan.

Jumlah pelarian di Gaza melebihi 330,000 orang awam pada hari keenam pertempuran.

Tiada ulasan: