"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Umno terima lebih RM20 juta dana 1MDB, mahkamah diberitahu

Ho Kit Yen

KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat polis memberitahu Mahkamah Tinggi dalam perbicaraan 1MDB Najib Razak bahawa Umno mendapat manfaat daripada dana 1MDB berjumlah lebih RM20 juta.

Foo Wei Min daripada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata beliau diberi tugas untuk menyiasat penerimaan dan penggunaan dana bekas perdana menteri itu dalam akaunnya 10 tahun yang lalu.

Foo berkata bahawa siasatan dijalankan serentak dengan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyalahgunaan kuasa oleh Najib.

Pegawai polis itu memberitahu mahkamah bahawa dia menjejak aliran wang dari bon USD3 bilion yang dikeluarkan oleh 1MDB untuk membangunkan Tun Razak Exchange (TRX).

Beliau memberitahu sebahagian daripada dana tersebut masuk ke dalam akaun peribadi Najib.

Foo berkata sejumlah USD1.59 bilion dipindahkan oleh 1MDB kepada tiga dana luar pesisir yang dimiliki oleh Cistenique Investment Fund (USD530.3 juta), Devonshire Funds Ltd (USD646.5 juta) dan Enterprise Emerging Markets Fund atau EEMF (USD414.1 juta).

Seterusnya, katanya, Devonshire memindahkan USD640 juta kepada Tanore Finance Corporation, manakala Cistenique dan EEMF mendepositkan jumlah keseluruhan USD625 juta ke dalam akaun yang sama.

“Siasatan saya menunjukkan bahawa sejumlah USD681 juta dipindahkan ke akaun Najib antara 21 hingga 25 Mac 2013 dalam sembilan transaksi.

“Pegawai Ambank (Yap Wei Keat) memberitahu kami bahawa transaksi itu dipecahkan kepada sembilan bahagian untuk mengelakkan gangguan kepada kadar pertukaran mata wang negara (yang akan berlaku) jika jumlah dana besar memasuki Malaysia serentak,” kata Foo.

Saksi itu kemudian berkata, antara 2 hingga 14 Ogos tahun itu, Najib mengeluarkan lima cek kepada Umno berjumlah RM20 juta, manakala Umno Batu Kawan menerima RM100,000.

Penerima lain yang dikenalpasti oleh saksi adalah Lim Soon Peng (RM246,000), Orb Solution Sdn Bhd (RM2 juta) dan Semarak Konsortium Satu Sdn Bhd (RM303,000).

“Ketua cawangan Umno Batu Kawan, Mohd Noor Ahmad memberitahu kami (polis) bahawa beliau menerima RM100,000 dan menggunakannya untuk tujuan politik di kawasannya,” kata Foo.

Sementara itu, katanya Orb Solutions, yang mengendalikan akaun media sosial Najib, menerima RM2 juta.

Foo juga berkata bahawa Semarak Konsortium Satu menawarkan perkhidmatan penulisan ucapan dan perkhidmatan hubungan awam kepada Najib.

Perbicaraan diteruskan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Najib menghadapi 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berjumlah RM2.28 bilion membabitkan dana 1MDB yang didakwa didepositkan dalam akaun AmBank miliknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Tiada ulasan: