Malaysiakini
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu yang semakin tertekan susulan kejayaan Hamas menembusi sistem pertahanan mereka berikrar akan memusnahkan sepenuhnya kumpulan militan itu.
"Setiap ahli Hamas adalah orang mati," katanya kepada BBC selepas mesyuarat pertama kerajaan tergempar negaranya.
Netanyahu juga menyamakan Hamas dengan kumpulan Daesh dan berikrar untuk memusnahkan keseluruhan Gaza.
Konflik tercetus Sabtu lalu apabila Hamas melancarkan serangan mengejut pelbagai hala, termasuk bedilan roket bertubi-tubi dan penyusupan ke Israel melalui darat, laut, dan udara.
Tindakan itu dikatakan Hamas sebagai membalas dendam terhadap penyerbuan Al-Masjid Aqsa di Baitulmaqdis Timur yang diduduki dan juga sebagai tindak balas keganasan peneroka Israel yang semakin meningkat terhadap rakyat Palestin.
Sebagai tindak balas, tentera Israel melancarkan Operasi Pedang Besi. Ia diperluaskan dengan pemotongan bekalan air dan elektrik ke Gaza, sehingga memburukkan lagi keadaan hidup di kawasan yang bergolak yang sudah dikepung sejak 2007.
Sehingga kini, jumlah korban di Gaza dan Israel mencecah lebih hampir 2,500.
Kementerian Kesihatan Palestin, hari ini melaporkan angka korban di Semenanjung Gaza kini mencecah 1,200 mangsa, susulan peningkatan serangan bom oleh Israel yang memasuki hari keenam.
"Bilangan mangsa yang cedera pula meningkat kepada kira-kira 5,600 orang," kata jurucakap kementerian itu.
Susulan amaran Israel untuk memusnahkan keseluruhan Gaza, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menasihatkan Netanyahu supaya mematuhi peraturan perang.
"Satu perkara yang saya katakan adalah sangat penting bagi Israel, dengan segala kemarahan dan kekecewaan... yang ada, mereka perlu beroperasi mengikut peraturan perang.
"Dan adanya peraturan perang," kata Biden yang dipetik AFP.
Agensi berita antarabangsa turut melaporkan bahawa Setiausaha Negara AS, Antony Blinken menyeru semua rakan antarabangsanya supaya menggunakan pengaruh mereka dengan Hamas dan Iran supaya konflik di Gaza-Israel dapat dihentikan segera.
Blinken juga dikatakan bersedia berunding dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed Salman dan Presiden Iran, Ebrahim Raisi.
“Kami minta semua rakan AS supaya menggunakan pengaruh anda dengan Hamas, Hezbollah dan Iran untuk menghentikan konflik yang berlaku.
“Kami juga mahu anda cuba ‘menghalang penglibatan Hezbollah’ dalam konflik di Gaza-Israel,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan