"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bagaimana Hamas laksana misi kompleks kejutkan Israel?

Hmetro

Gaza: Hamas mengerahkan kira-kira 1,000 pejuang untuk melancarkan serangan paling dahsyat ke atas Israel dalam beberapa dekad, dengan menyusun mereka ke unit khusus, kata sumber yang rapat dengan kumpulan itu kepada Reuters.

Beberapa operasi atau latihan oleh unit itu dirakam menerusi video yang dikeluarkan oleh Hamas dan sayap bersenjatanya, Briged Izz el-Deen al-Qassam. Rakaman lain operasi itu datang daripada saksi.

Jurucakap tentera Israel berkata, pihaknya sedang memerangi pejuang bersenjata Hamas di lebih 12 lokasi di sekitar Gaza, lebih 48 jam selepas serangan dilancarkan pada awal pagi Sabtu.

Unit misil

Pada permulaan operasi, Hamas berkata, ia melepaskan 3,000 roket dalam serangan pertama. Tentera Israel berkata, 2,500 roket dilepaskan.

Roket itu bertujuan untuk menimbulkan kejutan dan kekeliruan, sambil menyediakan perlindungan kepada pejuang Hamas untuk menembusi pagar mengelilingi Gaza.

Unit udara

Pasukan pejuang dengan peluncur, atau para-peluncur (paraglider) bermotor, melintasi sempadan dan memastikan situasi selamat untuk melaksanakan serangan darat.

Video yang dikeluarkan oleh Hamas menunjukkan unit itu, dengan lencana tertera nama Skuadron Falcon Tentera Udara, dalam apa yang kelihatan seperti latihan untuk serangan itu.

Beberapa pejuang menggunakan para-peluncur dengan satu orang dan yang lain menggunakan para-peluncur untuk dua orang. Ia menunjukkan mereka berlatih untuk mendarat pada sasaran, dengan sudah bersedia dengan senjata.

Rakaman telefon menunjukkan saat unit bawaan udara menyerang festival padang pasir di Israel. Dalam beberapa rakaman, pejuang boleh dilihat di udara.

Unit komando elit

Ini adalah 400 anggota elit yang kuat, yang dapat menembusi tembok Gaza. Mereka menggunakan bahan letupan untuk membuat lubang supaya boleh menyusup ke pihak Israel.

Selepas beberapa orang dapat melintas dengan motosikal, jentolak digunakan untuk melebarkan lubang supaya pasukan boleh memasuki wilayah Israel dengan pacuan empat roda.

Pasukan komando kemudian menyerang barisan pertahanan pertama Israel, menyerbu tempat tidur askar dan merampas pangkalan dan ibu pejabat operasi ketenteraan Israel di selatan Gaza, kata sumber itu.

Unit dron

Dron digunakan untuk pengawasan sempadan. Hamas mengeluarkan video yang menunjukkan apa yang disifatkannya sebagai dron yang dipanggil Zouari, mengatakan ia digunakan untuk membuka jalan kepada penyusupan. Ia juga mengeluarkan video pejuang melancarkan dron dari Gaza.

Unit ini digunakan untuk mengenal pasti kedudukan dan pergerakan askar Israel dan memantau markas mereka. Sumber tidak memberikan butiran lanjut tentang unit ini.

Tiada ulasan: