"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Drama tebusan di lapangan terbang berakhir

AFP

Hamburg: Seorang bapa yang bersenjata menjadikan anak perempuannya berusia empat tahun sebagai tebusan, memaksa penggantungan penerbangan di lapangan terbang Hamburg, sebelum dia menyerah diri pada Ahad, selepas beberapa jam rundingan, kata polis Jerman.

Lelaki Turkiye berusia 35 tahun itu dan kanak-kanak itu berada di dalam keretanya dekat pesawat Turkish Airlines pada petang Sabtu, menuntut untuk dibenarkan menaiki pesawat.

Dia memandu keretanya dan merempuh kawasan keselamatan ke apron tempat pesawat diletakkan, melepaskan dua das tembakan ke udara dan melemparkan dua botol terbakar keluar dari kenderaan itu, kata polis.

"Situasi tebusan berakhir," polis tempatan menyiarkan di X, sebelum ini Twitter, pada Ahad.

"Lelaki itu meninggalkan keretanya bersama anak perempuannya dan dibawa untuk disoal siasat oleh pasukan keselamatan tanpa tentangan," katanya sambil menambah kanak-kanak itu "kelihatan sihat."

Polis membawa ahli psikologi dan pasukan perunding serta unit tindak balas pantas ke lapangan terbang di utara Jerman itu.

Pihak berkuasa berkata, pertikaian mengenai hak penjagaan kanak-kanak itu dipercayai punca kejadian itu, dengan isteri pemandu membuat panggilan kecemasan memaklumkan polis mengenai penculikan anaknya.

Polis berkata, lelaki itu mengalami masalah psikologi dan menculik anak perempuan itu di rumah ibunya di bandar berhampiran Stade pada Sabtu, sebelum pergi ke lapangan terbang Hamburg.

Mereka menggambarkan rundingan panjang dalam bahasa Turki dan mengumumkan bapanya dipercayai "memiliki senjata yang dimuatkan dan mungkin bahan letupan."

Lelaki itu pada mulanya menuntut untuk dibenarkan terbang ke Turkiye bersama anak perempuannya.

Semasa rundingan, polis berkata, gadis itu kelihatan sihat dari segi fizikal, tetapi tidak akan mengulas mengenai keadaan mentalnya.

Bapa itu disiasat selepas menculik anak perempuannya pada Mac 2022 dan membawanya ke Turkiye. Ibu itu menemuinya di sana, menurut polis.

Penumpang yang menaiki pesawat Turkish Airlines selamat dipindahkan.
-hmetro 

Tiada ulasan: