"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Apa maksud Umno?

Mohsin Abdullah

Dua puluh empat jam selepas Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menyampaikan Keputusan membabitkan Najib Razak, Umno mengadakan mesyuarat khas Majlis Kerja Tertingginya yang tidak dijadualkan.

Isu Najib penting buat Umno sehingga parti itu menunda Kolokium Kongres Ekonomi Bumiputera pada Sabtu lalu untuk memberi laluan kepada mesyuarat khas itu.

Sebelum bercakap lanjut mengenai mesyuarat MKT itu, perlu ditegaskan ada segelintir suara dari Umno sememangnya amat yakin Najib satu-satunya pemimpin yang dikatakan boleh mengembalikan sokongan Melayu kepada parti itu.

Apabila Lembaga Pengampunan memutuskan tempoh hukuman penjara Najib dipendekkan daripada 12 tahun kepada enam dan denda RM210 juta dikurangkan kepada RM50 juta, Puad Zarkashi, ahli MKT Umno bersuara di Facebook.

Menerusi hantarannya Puad berkata kegagalan Najib mendapatkan pengampunan penuh amat melukakan. “Orang lain boleh dia tidak boleh .Ada yang mahu ia tidak dibolehkan”. Seterusnya beliau berkata “banyak pihak akan berpesta.Najib adalah ‘wow’ faktor pemulihan Umno. Kini senjata kebangkitan Umno ditumpulkan.

Puad tidak menamakan sesiapa. Lantas persoalan timbul . Siapa “orang lain” yang dapat pengampuan? Dan siapa yang mahu pengampunan penuh kepada Najib “tidak dibolehkan”? Siapa “pihak yang akan berpesta”? dan siapa yang tumpulkan senjata kebangkitan Umno?

Adakah beliau tidak puas hati dengan Lembaga Pengampunan? Rasanya elok Puad ambil perhatian kenyataan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meski pun secara am dan tidak merujuk kepada Puad.

Jangan terlanjur kata

Fahmi menurut Bernama “memohon semua pihak menghormati dan tidak terlanjur dalam membuat komen termasuk di media sosial berhubung keputusan Lembaga Pengampunan kepada bekas Perdana Menteri Najib Razak.”

Dan katanya lagi “jika kita terlanjur beberapa tindakan boleh diambil sama ada oleh polis atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.”

Malah bagi saya Umno sendiri perlu berhati-hati meski pun menegaskan ia menghormati keputusan Yang di Pertuan Agong terdahulu Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan mendukung Perlembagaan Persekutuan.

Dalam berkata demikian Umno bertekad akan “meneruskan usaha mendapatkan pembelaan” buat Najib mengikut undang undang negara seperti diputuskan Perhimpunan Agung.” Pendirian itu dikeluarkan menerusi kenyataan selepas mesyuarat khas MKT yang disebut tadi.

Umno tetap dengan pendirian Najib “tidak mendapat keadilan seawal proses perbicaraan.” Adakah Umno berpendapat keputusan Lembaga Pengampunan menunjukkan Najib terus tidak mendapat keadilan? Lalu parti mahu terus menuntut keadilan buatnya?

Umno tidak memperincikan apa usaha bakal diteruskan untuk mendapat pembelaan buat bekas presidennya. Namun Ahli MKT Lokman Adam dipetik FMT berkata pihaknya akan mengumpul tandatangan untuk merayu sekali lagi Najib diberi pengampunan diraja.

Mungkin beliau tidak perasan apa yang dikatakan boleh dilihat sebagai meletak “tekanan” ke atas Lembaga Pengampunan.

Dan mungkin Lokman juga tidak sedar apabila beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Zahid Hamidi yang menurutnya membolehkan petisyen Najib “didengar awal”, beliau seakan mengesahkan pendapat ramai bahawa ada campur tangan politik dan Najib diberi keistimewaan untuk “potong queue” banyak kes lain yang menunggu untuk dipertimbang lembaga.

Apa pun Umno sememangnya menganggap Najib sebagai “senjata pembangkitannya” bak kata Puad. Yang mengecewakan Umno apa yang Najib dapat daripada Lembaga Pengampunan ialah apa yang pakar perundangan sifatkan sebagai “pengampunan separuh” atau partial pardon .

Ertinya beliau masih seorang yang disabit kesalahan oleh mahkamah. He remains a convicted person. Lalu tidak boleh bertanding pilihan raya walaupun jika beliau dibebaskan lebih awal daripada 2028 seperti yang diperuntukkan keputusan Lembaga Pengampunan.

Yakni jika beliau dibebaskan pada 2026 atas faktor “berkelakuan baik” (memang ada peruntukan undang undang membolehkan hukuman dipendekkan satu pertiga berdasar kelakuan baik ) Najib tidak boleh bertanding PRU jika ia diadakan pada 2027 (apabila mandat kerajaan sekarang tamat).

Ini berdasarkan undang-undang bahawa seseorang yang menjalani hukuman penjara hanya boleh bertanding lima tahun selepas dibebaskan. Mengambil kira ini Najib hanya boleh bertanding pilihan raya 2031 semasa usia beliau 78 tahun.

1MDB punca kejatuhan

Najib bagaimanapun boleh mengemukakan permohonan baharu kepada Lembaga Pengampunan, menurut pakar undang-undang. Perlu diingat juga Najib masih menghadapi kes mahkamah.

Pakar perundangan berkata keputusan Lembaga Pengampunan tempoh hari tidak mempunyai kesan terhadap kes mahkamah berkenaan.

Ada penganalisis politik berpendapat Najib masih popular khususnya di kalangan orang Melayu. Beliau kata mereka masih berpengaruh. Maka itu mendorong keyakinan Umno bahawa Najib senjata kebangkitan mereka.

Namun faktor Najib jugalah bersama skandal 1MDB yang antara penyebab utama Umno/BN tumbang pada PRU 2018. Ini diakui pemimpin parti. Rakyat menolak Umno /BN ketika itu, termasuk orang Melayu.

Adakah Umno bersetuju dengan pendapat seorang lagi bekas presiden mereka bahawa “Melayu mudah lupa”? Lantas sekarang sudah mengampuni Najib dan Umno?

Tiada ulasan: