"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

5 pekerja ladang terpaksa masak nasi, risau diancam 18 'tetamu' tidak diundang

BERNAMA
MOHD Firdaus menunjukkan kawasan berhampiran yang dipercayai lokasi kehadiran Pati Rohingya di Ladang Felcra Sungai Gempel semalam. FOTO Bernama
MOHD Firdaus menunjukkan kawasan berhampiran yang dipercayai lokasi kehadiran Pati Rohingya di Ladang Felcra Sungai Gempel semalam. FOTO Bernama
Tapah: Jika semalam, mereka didatangi seorang 'tetamu' tidak diundang, pendatang tanpa izin (pati) yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Bidor meminta makan dan perlindungan, malam tadi lima pekerja ladang Projek Felcra Sungai Gempel di Tapah dikejutkan pula dengan kehadiran 18 lagi pendatang terbabit.

Penyelia Ladang Mohd Firdaus Salim berkata, beliau menerima maklumat kedatangan kesemua Pati itu daripada pekerja ladang, yang menghantar pesanan WhatsApp kira-kira 8.40 malam mengatakan mereka dalam ketakutan, kerana kedatangan mereka dalam jumlah yang besar.

"Lima pekerja ini yang ketakutan memasak nasi dan memberi makanan kepada kesemua Pati itu dan membiarkan mereka tidur dalam bilik, iaitu menggunakan taktik sama seperti seorang tahanan yang datang semalam.

"Saya pula segera melaporkan kepada polis dan Jabatan Imigresen lalu pergi bersama-sama ke rumah pekerja dengan beberapa kenderaan yang diparkir agak jauh, bagi mengelakkan tahanan itu menyedari kehadiran pihak berkuasa sebelum berjalan kaki ke tempat kejadian," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Mohd Firdaus berkata, selepas pihak berkuasa tiba, tahanan-tahanan berkenaan bertindak menghalang pintu dan cuba melarikan diri melalui bumbung, selain memecahkan dinding untuk keluar dari rumah itu, namun gagal kerana seluruh kawasan telah dikepung.

Beliau berkata, kelima-lima pekerja warga Indonesia itu kini mengalami trauma dan ditempatkan di rumah pekerja yang selamat, di kawasan Kampung Lubuk Katak bersama beberapa pekerja lain, berikutan tahanan memberitahu terdapat kira-kira 30 orang lagi Pati yang lolos berada dalam sekitar kawasan berkenaan.

Terdahulu pada Ahad, seorang Pati yang lolos ditahan di rumah pekerja itu, yang terletak kira-kira lima kilometer dari depot selepas dia datang dalam keadaan lemah dan meminta makanan serta tempat perlindungan, daripada pekerja ladang yang kemudian melaporkan kepada pihak polis pada waktu malam.

Pada Khamis lepas, 131 Pati melarikan diri dari blok lelaki Depot Imigresen Bidor pada kira-kira 9.50 malam dan dua daripadanya meninggal dunia akibat nahas jalan raya.

Setakat pagi ini, seramai 83 Pati yang telah diberkas semula termasuk 18 yang ditahan di ladang Projek Felcra Sungai Gempel, manakala operasi masih mengesan seramai 46 orang yang masih hilang.

Tiada ulasan: