"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Majlis Ulama Isma: Malang andai masyarakat biarkan sahaja kerosakan ini

Ilah Hafiz Aziz
am@hmetro.com.my
FOTO tular laman web penstriman menganjur podcast dengan menjemput ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu. FOTO tular​
FOTO tular laman web penstriman menganjur podcast dengan menjemput ‘Hot Daddy’ sebagai tetamu. FOTO tular​
Kuala Lumpur: Majlis Ulama Isma (Muis) mengecam tindakan platform audio siar atau podcast yang menjemput seorang lelaki yang baru-baru ini didakwa atas kesalahan mengiklankan khidmat persundalan menerusi aplikasi X.

Timbalan Pengerusinya Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, jemputan lelaki digelar sebagai 'Hot Daddy' pada podcast itu dipersoalkan kerana ia dilihat sebagai mempromosikan perbuatan terkutuk zina.

Katanya, situasi ini begitu bercanggah dengan ajaran Baginda Rasulullah SAW, yang mencela mereka yang suka mendedahkan dosa sendiri.

"Dunia sudah terbalik. 'Hot Daddy' dijemput sebagai tetamu podcast. Dalam erti kata yang lain, orang yang berzina dijemput sebagai tetamu wawancara, manakala mereka yang bernikah secara halal pula yang menjadi bahan kecaman orang ramai.

"Situasi ini sangat bercanggah dengan apa yang diajar oleh Baginda Nabi. Rasulullah mencela mereka yang suka mendedahkan dosa mereka sendiri sedangkan Allah sudah menyembunyikan keaiban maksiat yang mereka lakukan.

"Sabda Rasulullah, 'setiap umatku akan diampunkan dosa mereka melainkan golongan mujahirin (iaitu mereka yang mendedahkan dosa mereka sendiri), Hadis Riwayat Muslim'," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, sebuah laman sesawang penstriman yang menjemput 'Hot Daddy' untuk datang ke podcast mereka menimbulkan situasi kecoh di kalangan umat Islam negara kerana tindakan itu didakwa seolah-olah menyokong dan mempromosikan lagi apa yang dilakukan lelaki.

Ia turut mendapat teguran Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd Noor yang berkata, pihaknya bimbang tindakan itu akan mempengaruhi remaja dan membawa mereka ke jurang keruntuhan akhlak.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, umat manusia hari ini sudah ditimpa penyakit, dengan pendosa diangkat dan dibanggakan serta diraikan sebagai tamu bual bicara, sedangkan seorang mukmin itu sepatutnya tidak merasa selesa dengan dosa.

"Lebih malang lagi andai sekiranya masyarakat pula membiarkan sahaja kerosakan ini. Kejijikan yang diterima secara berleluasa berupaya membinasakan kita semua.

"Ingatlah bahawa Rasulullah mendidik sahabat supaya menjauhi segala perlakuan yang boleh membawa kepada zina. Bahkan Rasulullah menegaskan bahawa fenomena zina akan membawa kepada kebinasaan," katanya.

Tiada ulasan: