"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki maut di Langkawi, polis klasifikasi semula sebagai kes bunuh

Bernama

ALOR SETAR: Polis Kedah telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 dan Seksyen 304 Kanun Keseksaan bagi menyiasat insiden pergelutan melibatkan sekumpulan polis dan seorang lelaki sehingga menyebabkan kematian di Langkawi, baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Fisol Salleh, berkata pada awalnya, polis telah mengklasifikasikan kes itu sebagai kematian mengejut (SDR) selepas lelaki berkenaan disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital pada 1 Feb lepas.

“Kejadian berlaku pada 29 Jan apabila sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Langkawi telah menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 31 tahun di sebuah stesen minyak yang dilihat berada dalam keadaan mencurigakan.

“Semasa tangkapan, berlaku pergelutan dan suspek mengalami kecederaan di bahagian kening sebelah kanan, leher sebelah kiri, telinga kanan, tangan kanan dan lutut kanan, manakala seorang pegawai dan tiga anggota polis turut mengalami kecederaan kecil di bahagian badan,” katanya pada sidang media di IPK Kedah di sini hari ini.

Fisol berkata hasil pemeriksaan telah menemukan satu keratan straw berisi serbuk disyaki dadah jenis heroin seberat 0.21 gram di dalam poket hadapan sebelah kanan seluar yang dipakai suspek.

“Suspek telah dibawa ke IPD Langkawi untuk tindakan dan saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis morfin. Pada 8 malam hari yang sama suspek ditahan, polis telah membawa suspek ke Klinik Kesihatan Kuah untuk mendapatkan rawatan.

“Namun, semasa di klinik, suspek telah rebah dan tidak sedarkan diri sebelum dirujuk ke Hospital Sultanah Maliha, Langkawi dan ditahan di Zon Merah. Pada 1 Feb kira-kira pukul 12.40 tengah hari, pihak hospital memaklumkan suspek telah meninggal dunia,” katanya.

Fisol berkata hasil bedah siasat yang dilakukan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar mendapati punca kematian adalah akibat trauma hentakan objek tumpul di kepala.

“Ekoran kematian suspek, satu siasatan dijalankan bagi menyiasat dan mengetahui punca sebenar penyebab kepada kematian yang berlaku. Saya juga telah mengarahkan pegawai dari Kontinjen Kedah untuk menyiasat kes ini bagi memastikan kes disiasat dengan telus.

“Sehingga kini, sebanyak 13 saksi termasuk pegawai dan anggota terlibat telah diambil keterangan. Polis juga telah menghubungi ahli keluarga mangsa dan sedang menunggu laporan lengkap dari hospital,” katanya.

Baru-baru ini, sebuah video tular melalui media sosial yang memaparkan seorang lelaki ditahan sekumpulan polis di sebuah stesen minyak dan video itu turut menunjukkan keadaan lelaki terbabit ketika menerima rawatan di hospital.

Semalam, keluarga lelaki yang maut selepas mendakwa diserang anggota polis ketika ditahan di Langkawi itu menuntut pembelaan atas kematian mangsa dan meminta pihak polis mengemukakan penjelasan berhubung kejadian itu.

Tiada ulasan: