"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Polis cari waris wanita mati dibunuh

Muhamad Lokman Khairi
am@hmetro.com.my
MAYAT wanita dipercayai mangsa bunuh ditemukan di tebing Sungai Kinta berhampiran Jeti Matang Pelanduk. FOTO Ihsan Bomba
MAYAT wanita dipercayai mangsa bunuh ditemukan di tebing Sungai Kinta berhampiran Jeti Matang Pelanduk. FOTO Ihsan Bomba
Pasir Salak: Polis mencari waris seorang wanita dipercayai dibunuh selepas mayatnya ditemukan terdampar di tebing Sungai Kinta berhampiran Jeti Matang Pelanduk, di sini.

Mayat wanita tidak dikenali itu ditemukan pada 24 Januari lalu dalam keadaan tidak sempurna sehingga sukar untuk dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat itu pada 10.30 malam.

"Ciri fizikal mangsa adalah berketinggian sekurang-kurangnya 135 sentimeter, badan berisi, mempunyai ketuat pada kelopak mata kiri, mempunyai lubang anting-anting pada kedua-dua belah telinga dan beberapa gigi belakang sudah tiada.

"Polis percaya mangsa berusia antara 30 hingga 40 tahun," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau memaklumkan, siasatan kes yang sebelum ini dikategorikan sebagai mati mengejut diklasifikasikan semula kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

"Hasil bedah siasat yang dijalankan di Unit Forensik Hospital Teluk Intan mendapati punca kematian disebabkan pelbagai kecederaan disebabkan objek tumpul," katanya.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkenaan dengan kejadian atau kehilangan ahli keluarga menghubungi pegawai penyiasat kes, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Perak Tengah, Asisten Superintendan Hamzanni Abdul Ghani di talian 0195732880.

Tiada ulasan: