"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas pegawai Najib serah RM4.5j wang 1MDB, 3 kondo RM7.05j dilucut hak

Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak menyerahkan secara sukarela wang AS$972,251.25 atau RM4,551,399.45 daripada dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Penyerahan wang berkenaan oleh Datuk Amhari Effendi kepada Kerajaan Malaysia dibuat pada 29 September lalu, hasil usaha pemulihan aset dana 1MDB di dalam dan luar negara yang giat dijalankan secara berterusan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Memaklumkan perkembangan terbaharu usaha berkenaan, SPRM dalam satu kenyataan hari ini, menjelaskan wang termasuk aset yang berjaya diperoleh semula berjumlah RM23,911,460.90 dalam tempoh 2023 hingga 5 Februari lalu.

"Wang dan aset ini telah berjaya diperoleh menerusi proses lucut hak, termasuk di mahkamah, selain penyerahan secara sukarela membabitkan lima individu dan seterusnya telah dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia.

"Kejayaan memperoleh semula wang ini susulan proses menjejak dan memperoleh semula dana 1MDB yang dijalankan Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM pada 2023 dan terbaharu pada 5 Februari 2024," menurut SPRM.

Memperincikan perkembangan itu, SPRM menjelaskan, wang berjumlah RM556,275.64 berjaya diperoleh pada 30 Ogos 2023 daripada Nurzahid Taib, pegawai 1MDB yang menerima dana syarikat pembangunan strategik negara itu.

Dana diterima bagi Projek Maximus dan Projek Catalyze yang dimasukkan ke dalam akaun syarikat Turquoise Coast Offshore Incorporated, di mana individu berkenaan mempunyai kepentingan.

Menurut SPRM, wang itu telah diperoleh menerusi Perintah Pelepasan Akaun di bawah Seksyen 60 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) pada 26 Jun 2023.

"Pada 29 September 2023 pula, wang berjumlah AS$972,251.25 atau RM4,551,399.45 dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia menerusi penyerahan secara sukarela oleh Amhari, iaitu pegawai khas Najib menerusi pindahan wang dari BSI Bank Switzerland.

"Sementara itu, pada 8 November 2023, Mahkamah Tinggi Jenayah Kuala Lumpur mengeluarkan perintah melucut hak tiga unit kondominium bernilai RM7.05 juta milik Mohammad Kamal Yan Yahaya, pegawai penasihat hal ehwal luar negeri Najib," menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, individu berkenaan telah menerima dana 1MDB menerusi Projek Magnolia, Projek Maximus dan Projek Catalyze ke dalam akaun syarikat Spring Elite International Limited di BSI Bank, Singapura, di mana dirinya mempunyai kepentingan.

"Ketiga-tiga proses pemulihan aset ini diperoleh susulan perbicaraan bekas pegawai bank di Goldman Sachs, Ng Chong Hwa atau Roger Ng di Mahkamah Persekutuan Brooklyn, Amerika Syarikat pada Februari 2022 atas dakwaan bersubahat dalam penyelewengan dana 1MDB.

"Susulan proses pemulihan aset yang giat dijalankan ini juga, pada 5 Februari 2024, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan harta-harta milik sekutu Jho Low atau Low Taek Jho, iaitu Jerome Lee Tak Loong dan isteri, Koay Ying Ying di Malaysia dan di Singapura yang keseluruhannya berjumlah RM11,753,785.81 dilucuthak kepada SPRM.

"Permohonan lucut hak ini telah dibuat di bawah Seksyen 56 dan Seksyen 64 AMLATFPUAA 2001," menurut suruhanjaya itu.

Secara keseluruhan, SPRM menjelaskan, dari 2019 dan sehingga kini, sebanyak RM29.03 bilion nilai aset 1MDB berjaya dipulangkan menerusi kerjasama SPRM bersama Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB (PPA1M) selain kerjasama agensi luar negara.

Tiada ulasan: