"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lelaki ditahan disyaki ‘lepas geram’ pada sarjan di lokasi nahas maut

Bernama

KUANTAN: Polis mengesan sekumpulan lelaki disyaki merusuh, menolak, dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis serta memukul orang awam di lokasi kemalangan maut di KM127 Jalan Kuala Lumpur – Kuantan, Temerloh, semalam.

Ketua Polis Temerloh Mazlan Hassan, berkata setakat ini, pihaknya telah menahan seorang suspek berumur 42 tahun yang mempunyai tiga rekod lampau iaitu rompak berkumpulan, mencuri, dan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (Poca).

Beliau berkata, tiga lelaki dipercayai menolak serta menghambur kata-kata kesat terhadap seorang anggota polis berpangkat sarjan yang ditugaskan ke tempat kejadian, manakala seorang lelaki mendakwa dipukul lima individu kerana merakam kejadian yang menimpa anggota polis itu.

“Suspek dipercayai bertindak sedemikian terhadap anggota polis yang berpakaian seragam kerana tidak berpuas hati dan beranggapan anggota itu tidak memberi bantuan kepada mangsa kemalangan, sedangkan anggota terlibat telah melakukan tindakan sewajarnya.

“Orang awam yang didakwa dipukul lima lelaki itu merupakan pengawal keselamatan yang kebetulan berada di lokasi kejadian. Insiden itu menyebabkan dia cedera di kening selain semua cermin keretanya dipecahkan,” katanya dalam kenyataan.

Mazlan berkata, kekecohan itu dipercayai bermula selepas sekumpulan individu dipercayai ahli keluarga dan rakan kepada seorang remaja lelaki berusia 20 tahun yang maut dalam kemalangan itu tiba di lokasi kejadian.

Mangsa yang bekerja di kedai besi buruk disahkan maut di lokasi akibat parah di kepala dan kaki kanan, selepas motosikalnya dipercayai melanggar sisi sebuah kereta Perodua Myvi yang dikatakan membuat pusingan U di laluan garisan berkembar.

Pemandu kereta berusia 75 tahun itu, bagaimanapun tidak cedera dan siasatan lanjut berkaitan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Siasatan juga dilakukan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan (KK) iaitu menggunakan kekerasan jenayah bagi menakut-nakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan yang sah di sisi undang-undang dan Seksyen 148 KK iaitu merusuh serta Seksyen 427 kanun sama kerana melakukan khianat.

Tiada ulasan: