"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Tengku Maimun: Pihak cabar undang-undang negeri tidak menentang Allah

SITI NUR ZAWANI

Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat, menegaskan mana-mana pihak yang mencabar undang-undang dibuat badan perundangan negeri tidak boleh dituduh sebagai menentang Allah kerana undang-undang yang dicabar itu bukan ditetapkan oleh Tuhan.

Tengku Maimun berkata demikian dalam ringkasan penghakimannya ketika membuat keputusan mengisytiharkan 16 kesalahan syariah dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, adalah terbatal dan tidak sah.

“Jika ada pihak mencabar undang-undang yang dibuat oleh badan perundangan negeri yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah atas alasan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang tertentu, dan jika Mahkamah Sivil membenarkan cabaran tersebut, pihak yang mencabar dan Mahkamah Sivil tidak boleh dikatakan menentang Allah.

“…kerana undang-undang yang dicabar itu bukan yang ditentukan atau ditetapkan oleh Allah, tetapi oleh badan perundangan negeri,” katanya.

Tengku Maimun berkata, sekiranya semua pihak melihat isu pencabaran undang-undang dari sudut yang disebutkannya, maka tidak akan timbul soal Mahkamah Sivil tidak mempertahankan kedudukan agama Islam, atau tidak memperkasakan Mahkamah Syariah.

Beliau turut menegaskan, apa yang dicabar dalam petisyen membabitkan Nik Elin Zurina terhadap kerajaan Kelantan bukanlah mengenai kedudukan undang-undang syariah di Malaysia.

“Dakwaan-dakwaan pempetisyen adalah khusus terhadap tindakan kerajaan Kelantan yang mengikut hujahan pempetisyen, telah melangkaui kuasa berkenaan jenis-jenis kesalahan yang boleh diluluskan oleh kerajaan negeri, dalam ruang lingkup yang ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Tengku Maimun menambah, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pernah berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam, Yusfarizal Yusof.

“Maka melihat kepada cabaran ini sahaja, Mahkamah Syariah atau undang-undang Islam di Malaysia tidak akan pada bila-bila masa berkubur dan diletakkan batu nisan seperti didakwa oleh peguam Yusfarizal Yusof kerana Perlembagaan Persekutuan telah menjamin kuasa perundangan kepada semua kerajaan negeri untuk menggubal undang-undang yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah,” ujarnya.

Terdahulu, Tengku Maimun dalam penghakiman panel hari ini berkata, mahkamah membenarkan petisyen difailkan Nik Elin Zurina dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman kerana DUN membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya.

Sebelum ini kedua-dua pempetisyen memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) terbabit bertindak melangkaui bidang kuasanya.

Tiada ulasan: