"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Lagi anggota polis terlibat jenayah: ASP, sarjan disyaki menyamun ditahan

FMT Reporters 

PETALING JAYA: Pegawai polis berpangkat ASP bersama seorang sarjan ditahan bagi membantu siasatan kes samun membabitkan kerugian bernilai RM5,150, 1 Feb lalu.

Ketua Polis Terengganu Mazli Mazlan berkata penahanan mereka dibuat susulan laporan yang dibuat seorang lelaki di Balai Polis Gong Badak pada Sabtu lalu.

“Pengadu memaklumkan dibawa kedua-dua suspek ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus pada 1 Februari lalu (Khamis) untuk mengeluarkan duit sebanyak RM5,000.

“Identiti kedua-dua suspek berjaya dikenal pasti hasil siasatan pihak polis melalui pengecaman gambar terhadap suspek dan rekod kamera litar tertutup (CCTV) sebelum membawa kepada penahanan mereka.

“Suspek pertama iaitu pegawai polis ditahan pada Sabtu lalu dan kini dalam reman selama tujuh hari, manakala suspek kedua yang ditahan pada keesokan harinya (Ahad) pula direman selama empat hari.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Mazli berkata, pihaknya memandang serius pembabitan jenayah dalam kalangan pegawai dan anggota polis terutamanya di kontinjen itu.

Beliau berkata pasukan itu komited menjalankan siasatan dengan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang supaya penjenayah dapat dihadapkan ke mahkamah.

Sebelum ini, tular di media sosial satu laporan polis disyaki membabitkan pegawai dan anggota polis apabila mangsa mendakwa didatangi dua lelaki berpakaian preman menaiki kenderaan dengan logo PDRM.

Dalam laporan yang tular itu, suspek didakwa meminta wang sebanyak RM20,000 bagi membersihkan nama mangsa yang dikatakan berada dalam senarai untuk dibuang daerah.

Bagaimanapun, mangsa hanya mengeluarkan RM5,000 di ATM di sebuah stesen minyak di Wakaf Tembesu, Kuala Nerus sebelum menyerahkan RM150 lagi kepada kedua-dua suspek.

Tiada ulasan: