"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bahaya produk penyedut hidung: Denda RM25,000, penjara 3 tahun menanti

Harapandaily

Penjual produk penyedut hidung atau ‘energy stick’ boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Jika sabit kesalahan kali kedua dan berikutnya, penjual boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya.

Syarikat yang melakukan kesalahan sama boleh didenda sehingga RM50,000 kesalahan pertama dan sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan, penjualan produk kesihatan yang tidak berdaftar melanggar Peraturan 7(1)(a), Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“KKM telah menerima aduan awam berkait penjualan secara dalam talian produk berkenaan yang disyaki tidak berdaftar.

“Hasil siasatan awal mendapati keluaran terbabit bukan keluaran berdaftar.

“Ia perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) seperti peruntukan undang-undang di bawah Akta Jualan Dadah 1952.

“Justeru, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan dijalankan ke atas penjual yang dikesan menjual produk berkenaan,” katanya.

Menerusi kenyataan hari ini, beliau memaklumkan, hasil saringan awal di platform e-dagang, KKM turut mengesan pengiklanan dan penjualan produk berkenaan oleh penjual tempatan dan luar negara.

Sehubungan itu, KKM melalui Bahagian Penguatkuasaan Farmasi akan mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya iaitu memastikan iklan-iklan produk terbabit diturunkan.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan pengguna agar memastikan produk kesihatan mempunyai pelekat hologram dan Nombor Pendaftaran Produk (MAL) sebelum membeli produk terbabit.

Status pendaftaran produk boleh disemak di laman https://www.npra.gov.my di ruangan Status Produk atau dengan menghubungi terus Pusat Panggilan Farmasi Kebangsaan di talian 1-800-88-6722.

Orang ramai juga boleh memuat turun aplikasi NPRA Product Status daripada Google Play Store bagi tujuan semakan.

“KKM komited dalam melindungi kesihatan dan kesejahteraan orang awam melalui pemantauan secara berterusan,” menurut kenyataan itu lagi.

Tiada ulasan: