"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Nampak sangat pemalasnya

Abdullahjones

Dalam satu iklan di radio, pengacaranya meminta pendengar agar “sapot lokal”. Kami yang mendengarnya merasakan ia adalah sesuatu yang wajar.

Ketika semua orang sibuk memulaukan pelbagai perniagaan yang disangka menyokong pembunuhan warga Palestin, sekarang adalah masa paling sesuai untuk jenama tempatan mengambil peluang.

Jenama tempatan seharusnya menggiatkan usaha mereka untuk merampas pasaran yang selama ini dikuasai orang luar. Mencintai barangan keluaran kita sendiri dan melangganinya adalah satu daripada seribu jalan menunjukkan kasih sayang kepada negara.

Dan jenama tempatan pula - jika mahu memberi nama pada perniagaan - pilihlah istilah yang dekat dengan kita. Malu juga apabila tinggal di Negeri Sembilan tapi nama taman perumahan kita digelar Bandar Ainsdale, misalnya.

Kalau dinamakan sebagai Bandar Eden pun tidak apa rasanya. Bunyinya macam taman sorga, tapi sebenarnya bandar "saya". Pandai-pandailah kamu bermain kata.

Bukan tak ada nama taman perumahan yang bagus di Negeri Sembilan. Taman Godang Jaya, Bandar Sunggala atau Taman Tanjung Gemuk adalah antara nama yang baik.

Cuma nama Taman Hadapan Hospital di Jelebu tu nampak sangat pemalasnya.

Jika Singapura boleh maju dengan Hospital Kandang Kerbaunya, tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh melakukan perkara yang sama.

Dan sudah-sudahlah dengan istilah seperti avenue, precinct atau nama-nama lain yang seumpamanya.

Buat marah dek budak-budak yang percaya Islam adalah Melayu itu saja nanti.

Nama perniagaan juga biasanya amat mempengaruhi keluaran mereka.

Sebuah syarikat perumahan yang didaftar sebagai Wong Fei Hong Constructions misalnya akan menamakan taman perumahan mereka sebagai Taman Wong Fei Hong.

Ia adalah langkah promosi dan menguntungkan syarikat berkenaan.

Lalu jika semua entiti komersial diwajibkan untuk mendaftar nama perniagaan mereka mengikut bahasa kebangsaan maka secara tidak langsung ia tidak akan memungkinkan nama-nama yang jengkel digunakan pada taman perumahan di tempat kita.

Tapi itulah, kami yang tadinya berkobar-kobar dengan semangat cinta negara tersentak apabila mengingat kembali apa yang disebut oleh pengacara radio berkenaan.

Papan tanda di perpustakaan

Perkataan "sapot lokal" itu sendiri sebenarnya langsung tidak local! Kedua-dua patah perkataan tersebut diragut dengan biadab dari bahasa Inggeris.

Kami tidak tahu sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka sudah memasukkan dua perkataan itu ke dalam perbendaharaan bahasa Melayu. Jika sudah, maka maafkan kami.

Jika tidak, maka tidak adakah cerdik pandai bahasa Melayu yang boleh datang dengan perkataan yang lebih elok?

Dulu pernah ada kempen yang dinamakan sebagai Belilah Barangan Buatan Malaysia. Sedap telinga mendengarnya.

"Lokal" itu mungkin boleh dimaafkan namun perkataan "sapot" adalah sangat rempit.

Sebut fasal pustaka, yang sedang kecoh sekarang ini adalah mengenai papan tanda di sebuah perpustakaan di Bangi, Selangor.

Perkataan Library tertera begitu besar di bumbung khutub khanah milik kerajaan itu. Entah sebagai simbol megah, entah sebagai tanda mengah.

Ada yang marah mengenai tindakan tersebut dan ada juga yang membenarkannya.

Yang marah ialah pejuang bahasa Melayu. Memang ada kebenaran pada kemarahan mereka itu.

Mana mungkin sebuah perpustakaan milik kerajaan memartabatkan bahasa Inggeris di tempat sedemikian, kata mereka.

Dan yang lebih menyakitkan ia terletak di tempat tinggi, seolah-olah sedang dijulang.

Tanam tikar mengkuang

Mereka yang membenarkannya pula mengatakan bahawa bukan hanya perpustakaan di Bangi menggunakan bahasa Inggeris pada papan tandanya, malah perpustakaan di Terengganu dan beberapa negeri lain juga terlebih dulu berbuat perkara yang sama.

Masing-masing mahu berada di tempat yang benar sambil membiarkan perkataan "janitor" atau "koreksional" digunakan dengan seluas-luasnya.

Sebut fasal koreksional, kami ada bermacam jenaka mengenainya namun kami simpan sebagai hiburan diri sendiri.

Kami tinggalkan kamu semua dengan sebuah kisah yang makin dilupakan. Kisah-kisah nakal zaman lama ini kadang-kadang menjadi hiburan dan pada waktu lain boleh dijadikan sebagai teladan.

Semasa Pak Pandir melihat Mak Andeh bersedih setelah anak mereka mati direbus oleh suaminya itu, Pak Pandir memujuk isterinya dengan mengatakan: "Bukan anak kita saja yang mati... anak orang lain pun mati juga".

Semasa pulang dari pengebumian budak itu, Pak Pandir terjumpa mayat kanak-kanak sebaya anaknya.

Mayat yang disangka sebagai anak orang lain itu sebenarnya adalah mayat anak dia sendiri yang menggelunsur keluar tanpa disedari dari tikar yang membalut tubuhnya.

Yang ditaman oleh Pak Pandir adalah tikar mengkuang yang kosong.

Tiada ulasan: