"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Dakwa gagal bertindak kes salah guna kuasa, perunding koperasi saman kerajaan RM5 juta

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang perunding koperasi menuntut RM5 juta sebagai ganti rugi daripada kerajaan kerana gagal bertindak ke atas salah guna kuasa dan penyelewengan yang didakwa berlaku dalam sebuah organisasi.

Dalam pernyataan tuntutannya, Shan Thuraisingham juga mahu mahkamah memerintahkan dua bekas pemimpin MIC memulangkan RM8 juta yang didakwanya telah diselewengkan.

Shan, yang merupakan setiausaha kehormat Persatuan Usahawan, Pengurusan dan Koperasi Islam Malaysia (UrusCoop), memfailkan pernyataan tuntutan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 13 Jun lalu.

Dia memfailkan writ di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 26 April, yang turut disampaikan kepada Jabatan Peguam Negara.

Dalam pernyataan tuntutan, Shan mendakwa RM8 juta itu telah diperuntukkan oleh perdana menteri ketika itu, Najib Razak kepada dua pemimpin MIC yang akan diagihkan kepada koperasi masyarakat India.

FMT merahsiakan identiti kedua-dua mereka sementara menunggu maklum balas.

“Malangnya, kedua-dua pemimpin ini ‘menggelapkan’ dana untuk menubuhkan sebuah lagi koperasi yang tidak ditubuhkan mengikut undang-undang,” dakwa dokumen itu.

Shan juga mendakwa bahawa dia telah membawa perkara itu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dengan agensi antirasuah itu didakwa melabelkan perkara itu sebagai “NFA”, atau tiada tindakan lanjut.

Beliau juga berkata perkara itu telah dirujuk kepada AGC dan menteri undang-undang dan reformasi institusi.

Ketika dihubungi, Shan berkata beliau tidak mempunyai pilihan selain membawa perkara itu ke mahkamah, kerana terdapat keperluan untuk melindungi 15,000 koperasi dan 16 juta anggotanya.

“Saya menulis surat kepada pihak berkuasa yang berkaitan, tetapi tiada siapa yang mengambil sebarang tindakan,” katanya.

Beliau berkata, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 26 Jun ini untuk pengurusan kes.

Tiada ulasan: