"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

4 disyaki pukul, culik, ugut 3 remaja diberkas

FMT Reporters

PETALING JAYA: Tiga remaja lelaki berusia 14 tahun mendakwa dilarikan oleh sekumpulan lelaki dari sebuah pasar raya di Skudai sebelum dipukul dan dirakam gambar bogel, kelmarin.

Ketua Polis Johor Bahru Utara, Balveer Singh Mahindar Singh, berkata polis menerima aduan daripada mangsa berhubung kejadian itu pada 6.45 pagi semalam.

Katanya, mereka didatangi sekumpulan 10 lelaki termasuk seorang yang dikenali mangsa, sebelum dilarikan dengan tiga kereta ke lokasi yang tidak dapat dipastikan, kira-kira 8 malam.

“Seterusnya, suspek didakwa memukul dan merakam gambar bogel mangsa serta mengugut akan menularkan gambar itu sekiranya kejadian berkenaan terbongkar.

“Sekumpulan suspek itu kemudiannya melarikan diri bersama barangan peribadi milik mangsa, dengan meninggalkan remaja terbabit di lokasi sama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Balveer Singh berkata mangsa yang lebam di bahagian muka serta tangan diselamatkan dengan bantuan orang awam dan dihantar ke hospital untuk rawatan sebelum membuat laporan polis.

Katanya, susulan kejadian itu polis menahan empat warga tempatan berusia dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun, di Skudai kira-kira 8 malam tadi.

“Polis turut merampas kenderaan yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain menjumpai semula barangan milik mangsa.

“Semua suspek kini direman empat hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan, iaitu menculik yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah dikenakan denda,” katanya.

Katanya, kes juga disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan kecederaan dengan senjata dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan, iaitu ugutan jenayah.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengenal pasti motif kejadian. Usaha mengesan beberapa suspek yang masih bebas juga sedang giat dijalankan.

“Polis meminta orang ramai yang ada maklumat berhubung kes ini supaya menyalurkannya kepada pegawai penyiasat, Inspektor Intan Khaizira, melalui talian 013-6062618,” katanya.

Tiada ulasan: