"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Netanyahu kecam tentera Israel laksanakan 'gencatan senjata' sementara

BHarianonline 
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memindahkan mangsa serangan terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin memindahkan mangsa serangan terbaharu Israel di tengah Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
BAITULMAQDIS: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, kecam rancangan tentera Israel menghentikan sementara serangan secara taktikal setiap hari di salah satu laluan utama ke Gaza bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin.

Menurut salah seorang wakil dalam kerajaan Israel, Netanyahu tidak bersetuju dengan pemberhentian sementara serangan selama 11 jam bagi tujuan berkenaan.

"Apabila Perdana Menteri mendengar mengenai laporan pemberhentian sementara serangan bagi tujuan misi kemanusiaan itu, beliau berpaling kepada setiausaha tenteranya dan menegaskan ia tidak boleh diterima," katanya.

Tentera Israel mengumumkan tempoh 'berehat' dari serangan setiap hari dari 0500 GMT hingga 1600 GMT di kawasan membabitkan Persimpangan Kerem Shalom ke Jalan Salah al-Din dan kemudian ke utara.

Peta yang dikeluarkan tentera menunjukkan laluan kemanusiaan yang diisytiharkan adalah sehingga ke Hospital Eropah Rafah, kira-kira 10 kilometer (km) dari Kerem Shalom.

Tentera menjelaskan bahawa operasi biasa akan diteruskan di Rafah, dengan tumpuan utama operasinya adalah di selatan Gaza, di mana lapan tentera Israel terbunuh Sabtu lalu.
Orang ramai mencari mangsa yang terselamat di dalam runtuhan bangunan berikutan pengeboman Israel di kem pelarian al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Orang ramai mencari mangsa yang terselamat di dalam runtuhan bangunan berikutan pengeboman Israel di kem pelarian al-Bureij di tengah Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Pengumuman tentera Israel ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Aidiladha itu memberi sedikit kelegaan, namun pelaksanaannya di lapangan belum dizahirkan.

Menurut tentera, langkah itu dibuat bagi meningkatkan jumlah bantuan kemanusiaan selepas perbincangan dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan lain.

Namun, reaksi daripada Netanyahu itu mendedahkan ketegangan politik berhubung isu penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, di mana pertubuhan antarabangsa memberi amaran mengenai krisis kemanusiaan yang makin bertambah buruk.

Sementara itu, Menteri Keselamatan Negara, Itamar Ben-Gvir, turut mengecam idea terbabit dan menuntut pihak yang memutuskan pelan terbabit meletakkan jawatan.

Dilema itu adalah pertelingkahan terbaharu antara pemimpin kerajaan dan tentera berhubung perkembangan perang yang kini sudah berlarutan selama sembilan bulan.

Kerajaan Israel sebelum ini melanjutkan tempoh pembiayaan hotel dan rumah tetamu untuk penduduk yang dipindahkan dari bandar sempadan selatan Israel hingga 15 Ogos, sekali gus menandakan pertempuran di Gaza mungkin akan berlarutan.
Seorang budak lelaki Palestin membawa sejadahnya bergambar sebelum menyertai solat sunat Aidiladha di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Seorang budak lelaki Palestin membawa sejadahnya bergambar sebelum menyertai solat sunat Aidiladha di Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza. - Foto AFP
Sementara itu, jurucakap agensi kemanusiaan PBB, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), Jens Laerke, berkata PBB mengalu-alukan tindakan Israel itu walaupun ia masih belum cukup untuk membolehkan lebih banyak akses bantuan dibuat.

Beliau sebaliknya mahu langkah lebih baik dibuat Israel untuk menangani isu yang lama berlarutan berhubung keperluan bantuan.

"Penduduk Gaza memerlukan makanan, air, sanitasi, tempat tinggal, dan penjagaan kesihatan dengan segera. Ramai yang tinggal berhampiran timbunan sisa pepejal, yang mengancam kesihatan mereka," katanya.

Komander tentera selatan Israel, Mejar Jeneral Yaron Finkelman, memberitahu tentera semasa lawatan ke Rafah semalam, bahawa mereka akan meneruskan tindakan bagi menewaskan Hamas.

Sementara jurucakap sayap tentera Hamas, Abu Obaida, berikrar untuk meneruskan serangan terhadap musuh.

Sekurang-kurangnya 310 tentera Israel maut sejak serangan darat di Gaza pada 27 Oktober lalu.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan balas Israel pula membunuh sekurang-kurangnya 37,337 mangsa kebanyakannya orang awam termasuk 41 kematian dalam tempoh 24 jam lalu. - AFP

Tiada ulasan: