"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

1 maut, rakan kritikal gaduh di pusat hiburan

FMT Reporters

PETALING JAYA: Seorang maut manakala rakannya kritikal selepas terlibat dalam pergaduhan dengan sekumpulan lelaki di pusat hiburan di Kota Kinabalu, Sabah, awal pagi tadi.

Lelaki berusia dalam lingkungan 20 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan rakannya yang berusia 20 tahun turut menerima rawatan di hospital sama.

Ketua Polis Kota Kinabalu, Kasim Muda, berkata polis menerima panggilan daripada pekerja pusat hiburan berkenaan kira-kira 2 pagi yang memaklumkan kejadian itu.

Katanya, sepasukan polis bergegas ke lokasi dan tiba 10 minit kemudian.

“Hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa terbabit pergaduhan dengan suspek disyaki akibat perselisihan faham.

“Kedua-dua mangsa yang parah dibawa ke hospital sebelum seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia manakala rakan parah dan kini masih menerima rawatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rondaan Bermotosikal Amanita IPD Kota Kinabalu hari ini, menurut Berita Harian.

Beliau berkata pergaduhan itu dipercayai bermula di dalam premis pusat hiburan berkenaan.

Katanya, berdasarkan pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan, pihaknya mengesan suspek namun belum dapat dikenal pasti.

“Usaha kini dijalankan untuk mengesan seterusnya menangkap suspek yang terbabit dalam pergaduhan berkenaan.

“Kedua-dua mangsa adalah awak-awak bot nelayan warga Indonesia yang mempunyai dokumen. Kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Tiada ulasan: