"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Bekas tukang masak didakwa curi jam tangan Rolex RM67,000

Bernama

Safaruddin didakwa mencuri jam tangan di bawah jagaan pekerja wanita di sebuah kedai di Subang Jaya 23 Nov lepas. - Foto BERNAMA

SHAH ALAM: Seorang bekas tukang masak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencuri seutas jam tangan mewah jenama Rolex Oyster bernilai RM67,000 di sebuah kedai menjual barangan berjenama, bulan lepas.

Safaruddin Bacho, 44, didakwa mencuri jam tangan di bawah jagaan pekerja wanita di kedai itu di Jalan SS 16/1, Subang Jaya di sini pada 10.40 pagi, 23 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun serta boleh didenda, dan bagi kesalahan kedua dan seterusnya boleh dipenjara dan didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Sofea Jaysal menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh.

Peguam Shalehhuddin Salam merayu jaminan rendah atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan masih mencari pekerjaan.

Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman membenarkan Safaruddin diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 14 Feb depan untuk sebutan kes.

Media sebelum ini melaporkan, sebuah kedai menjual barangan berjenama mengalami kerugian dianggarkan RM64,000 selepas seutas jam tangan Rolex dicuri seorang lelaki menyamar sebagai pelanggan pada 23 Nov.

Jam tangan berkenaan kemudian dijual lelaki terbabit kepada sebuah kedai jual beli barangan berjenama di Kuala Lumpur.

-- BERNAMA

Tiada ulasan: