"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Kelantan: Khairul Aming saran buat laporan polis selepas heboh dakwaan penghulu asingkan barangan bantuan banjir

Harapandaily

Pengasas produk Sambal Nyet, Khairul Aming menyarankan pihak berkaitan membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang penghulu di Tumpat, Kelantan mengasingkan barangan bantuan yang disumbangkannya.

Pempengaruh itu menerusi video yang dikongsinya di TikTok beliau berkata, beliau enggan terlibat secara langsung dalam kontroversi tersebut memandangkan kurang maklumat sahih yang diterima.

“Kalau betul benda tu jadi, buat laporan polis ke apa ke.

“Tapi selain daripada itu, team KA memang tak boleh masuk campur dan tak tahu langsung info. Takut nanti jadi fitnah,” ujar Khairul Aming (KA) hari ini.

Terdahulu, tular rakaman video dakwaan bahawa bungkusan barangan untuk mangsa banjir sumbangan KA telah diasingkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Tumpat 1.

Mangsa banjir di PPS itu mendakwa mereka hanya menerima sebungkus biskut dan mi segera sahaja.

Mengulas lanjut, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, 32, menegaskan bahawa beliau dan pasukannya hanya bertanggungjawab untuk menghantar barangan bantuan ke PPS.

“KA tak nak masuk campur dan saya tak benarkan team KA pun masuk campur isu tu.

“Info yang kami ada adalah kami cuma letak barang di sana kemudian kami terus gerak. Itu sahaja.

“Minta maaf KA tak boleh nak fokus semua ‘isu rumah tangga’ kat sana. Memang kita kat sini sangat-sangat padat dan laju sebab ramai lagi yang tak dapat bantuan,” katanya.

Dalam masa sama, penerima Anugerah TikTok 2023 bagi kategori People’s Choice: Creator Of The Year berkata, beliau sendiri sudah ke PPS terlibat.

Jelas pempengaruh media sosial berkenaan, petugas di sana menangis kerana mendakwa difitnah menyorokkan barang bantuan.

“Semalam KA pergi kat PPS tu, akak AJK tu sampai menangis sebab orang fitnah dia sorok barang.

“Dia kata dia dengan anak sendiri pun tak cukup barang nak makan,” kata pemilik kepada dua kilang Sambal Nyet di Kota Bharu itu lagi.

Tiada ulasan: