FMT Reporters
Kebimbangan mereka kemudian diredakan oleh bekas KSU KDN yang memberitahu perkara itu hanya membabitkan kumpulan Kristian.
PETALING JAYA: Masyarakat Sikh bimbang kitab sucinya, Guru Granth Sahib, akan diharamkan pada kemuncak kontroversi larangan penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh orang bukan Islam, dedah sebuah buku baharu.
Guru Granth Sahib juga merujuk kepada tuhan menggunakan istilah Arab yang sama.
Perdebatan mengenai penggunaan kalimah ‘Allah’ tercetus apabila Syed Hamid Albar, menteri dalam negeri dari 2008 hingga 2009, berusaha mewartakan larangan penggunaan kalimah itu oleh orang bukan Islam.
Selain ‘Allah’, kerajaan pimpinan Dr Mahathir Mohamad, ketika kali pertama menjadi perdana menteri, mengharamkan tiga perkataan lain, iaitu ‘Kaabah’, ‘Baitullah’ dan ‘solat’.
Bagaimanapun, desakan Syed Hamid agar perkataan itu diwartakan tidak disenangi beberapa kumpulan bukan Islam, menurut biografinya.
Biografi Syed Hamid Albar, ‘Idealis: Syed Hamid Albar’, diterbitkan oleh Ilham Books.
Buku bertajuk ‘Idealis: Syed Hamid Albar’ itu menceritakan bagaimana ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika itu, Abdul Aziz Yusof, bertemu 10 wakil kumpulan Sikh yang memaklumkan kepadanya bahawa kitab suci mereka juga mengandungi kalimah ‘Allah’.
Mereka bimbang kitab Guru Granth Sahib juga akan diharamkan.
Bagaimanapun, Aziz yang kemudian berkhidmat sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya selama tujuh tahun, meredakan kebimbangan mereka.
“Aziz memberitahu (kumpulan Sikh) supaya jangan bimbang kerana perkara itu tiada kena mengena dengan mereka dan ia hanya berkaitan masalah dengan kumpulan Kristian.
“Maka mereka berpuas hati,” menurut buku itu.
Kontroversi kalimah ‘Allah’ timbul kerana orang asal Kristian di Sabah dan Sarawak juga menggunakan istilah itu dalam kitab Injil dan penerbitan agama berbahasa Melayu.
Pelbagai kumpulan pendesak Muslim berhujah bahawa kalimah ‘Allah’ eksklusif untuk Islam, memetik arahan kerajaan pada 1986 yang melarang orang bukan Islam menggunakannya.
Bagaimanapun, penganut Kristian terutama yang kebanyakannya berkomunikasi dalam bahasa Melayu, mempertikaikan bahawa mereka telah menggunakan istilah itu selama berabad-abad sebagai merujuk tuhan.
Biografi Syed Hamid, yang ditulis oleh Noor Hasilah Ismail dan Firdaus Zainal, diterbitkan oleh Ilham Books. Buku itu dilancarkan oleh Mahathir dan boleh didapati dalam talian serta daripada Gerakbudaya dan Ilham Books.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan