Nora Mahpar
Kes tuntutan mutaah babit Azlan Man dan bekas isteri Sova Ali akan disebut semula 16 Jan tahun depan.
Sova Ali dan Azlan Man hadir pada prosiding kes tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak berjumlah RM15.34 juta di di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, hari ini.
SHAH ALAM: Kes tuntutan mutaah dan nafkah tertunggak berjumlah RM15.34 juta oleh bekas isteri menteri besar Perlis Azlan Man gagal diselesaikan di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam hari ini.
Ia susulan selepas kedua-dua pihak gagal mencapai kata sepakat.
Dalam prosiding itu, Hakim Syarie Zainal Abidin Kusmin terlebih dahulu membenarkan peguam mewakili Sova Ali, 42, dan Azlan, 65, berunding di luar kamar untuk menentukan jumlah tuntutan munasabah baharu.
Difahamkan, Sova menuntut RM500,000 bagaimanapun tidak dipersetujui Azlan yang menawarkan RM100,000.
Selepas perbincangan kira-kira 30 minit, peguam Zainul Rijal yang mewakili Sova manakala Akberdin Abdul Kader, peguam kepada Azlan memberitahu Zainal Abidin yang anak guam mereka tidak bersetuju dengan cadangan penyelesaian.
Sehubungan itu, hakim menetapkan 16 Jan depan untuk sebutan semula kes.
Hakim Zainal Abidin turut menasihatkan semua pihak terbabit dapat mencari situasi menang-menang dan berlapang dada.
“Pesan saya tak dapat keuntungan besar tetapi prinsip tetap dapat keuntungan sikit sudah memadai, kalau rugi bukanlah rugi besar.
“Kena ambil persetujuan bersama dan lapang dada,” katanya yang berharap kedua-dua peguam dapat memberi idea bersifat islah (tepat) atau secara baik kepada anak guam mereka.
“Kalau tidak capai persetujuan baru fokus sesi soal balas.”
Pada 4 Nov 2022, Sova memfailkan tuntutan mutaah berjumlah RM15 juta dan RM344,250 nafkah tertunggak di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam.
Tuntutan RM15 juta itu difailkan Sova yang mendakwa penceraian mereka berlaku tanpa sebab yang munasabah dan Azlan juga tidak mendapatkan kebenaran mahkamah untuk bercerai.
Sova, warga Indonesia berkahwin dengan Azlan pada 21 Mac 2010 dan bercerai 12 tahun kemudian pada 25 Ogos 2022. Pasangan itu tidak dikurniakan cahaya mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan