"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Wang tunai lebih RM45 juta di pejabat, rumah, kereta bekas pengarah JANS

BERNAMA

Kota Kinabalu: Lebih RM45 juta wang tunai dirampas daripada bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) Ag Mohd Tahir Mohd Talib dalam kes pengubahan wang haram pada 2016, kata Hakim Mahkamah Sesyen Abu Bakar Manat.

Beliau berkata berdasarkan keterangan saksi, wang tunai sebanyak RM23.69 juta dijumpai di pejabat Ag Mohd Tahir, 62, di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) di sini dan RM8.56 juta di rumah tertuduh serta isterinya, Fauziah Piut, 59.

Sejumlah RM9.19 juta lagi ditemukan di dalam kereta jenis Mazda dan RM4.13 juta dalam kereta Mercedes.

Beliau berkata pelbagai mata wang asing turut ditemukan dan disita termasuk dolar Amerika Syarikat, pound sterling, euro, dirham Emiriah Arab Bersatu, baht Thailand, yuan China, dolar Hong Kong, yen Jepun, dong Vietnam, won Korea, riyal Arab Saudi, dolar Singapura dan rupiah Indonesia.

Turut disita wang dalam akaun bank Ag Mohd Tahir berjumlah RM4.15 juta.

"Sepanjang perbicaraan kes ini, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan dan penemuan wang tunai yang begitu banyak di beberapa tempat, mahkamah berpuas hati pendakwaan telah membuktikan bahawa OKT1 (Ag Mohd Tahir) menggunakan kedudukannya sebagai Pengarah di JANS.

"(Ag Mohd Tahir) telah terlibat dalam aktiviti haram iaitu rasuah melalui skim kutipan berpusat yang bermula sejak tahun 2005 hingga tahun 2016," katanya dalam penghakiman di akhir kes pendakwaan.

Justeru itu, beliau memerintahkan Ag Mohd Tahir, Fauziah dan bekas Timbalan Pengarah JANS Lim Lam Beng, 70, membela diri atas pertuduhan pengubahan wang haram setelah mendapati pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Ag Mohd Tahir berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 serta 11 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama.

Beliau dan isterinya juga didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) akta sama atas dua pertuduhan manakala Fauziah dan Lim masing-masing turut berdepan 19 serta empat pertuduhan di bawah seksyen dan akta sama.

Abu Bakar juga berkata berdasarkan keterangan saksi, adalah jelas skim kutipan berpusat itu tidak dapat dijalankan tanpa pengetahuan, arahan, kelulusan dan penglibatan Ag Mohd Tahir.

Beliau berkata semasa siasatan, tertuduh gagal memberikan penjelasan mengenai sumber wang yang dijumpai dan disita itu.

"Begitu juga dengan pembelian kereta dan jam tangan mewah yang kesemuanya dalam milikan OKT1 ketika serbuan dibuat," katanya.

Abu Bakar berkata Fauziah pula memiliki lebih RM2.22 juta wang dalam akaun bank peribadinya selain 921 barang kemas pelbagai jenis dan 93 beg tangan berjenama mewah.

"Nilai keseluruhan pertuduhan terhadapnya adalah melebihi RM6 juta.

"Persoalannya, dari mana sumber pendapatan atau hasil yang diperoleh OKT2 untuk memiliki semua harta tersebut dan beliau dalam siasatan juga gagal menjelaskan sumber wang tersebut diperoleh," katanya.

Hakim itu berkata berdasarkan penemuan tersebut, keterangan saksi, dokumen dan keterangan berdasarkan persekitaran, mahkamah berpuas hati atas imbangan kebarangkalian bahawa tertuduh itu, melalui suaminya, telah terlibat memiliki hasil daripada aktiviti haram.

Beliau berkata walaupun Fauziah tidak terlibat dalam skim kutipan berpusat itu namun perbuatan tertuduh memiliki hasil daripada aktiviti haram adalah terjumlah dalam kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) akta terbabit.

Mahkamah menetapkan 26 hingga 28 Februari dan 28 hingga 30 April tahun depan untuk tertuduh membela diri.

Tiada ulasan: