"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Warga emas dipercayai jatuh ke dalam tanah jerlus ketika cari kucing peliharaan

Agensi
Warga emas dipercayai jatuh ke dalam tanah jerlus ketika cari kucing peliharaan
Pasukan penyelamat mengepam air melalui lombong yang telah lama ditinggalkan untuk membersihkan debris bagi memudahkan mereka melihat dengan lebih jelas. - AP Photo/Gene J. Puskar
PENNSYLVANIA: Seorang warga emas di Pennsylvania dipercayai terjatuh ke dalam tanah jerlus ketika mencari kucingnya, Isnin lalu.

Polis Negeri Pennsylvania berkata, pasukan penyelamat terpaksa mengepam air melalui lombong yang telah lama ditinggalkan untuk membersihkan debris bagi memudahkan mereka melihat dengan lebih jelas.

"Kestabilan tanah lombong itu mula terjejas," kata jurucakap polis, Steve Limani dalam satu sidang akhbar.

Penyelamat berharap Elizabeth Pollard, 64, masih hidup, sambil menjelaskan lubang itu mempunyai bekalan oksigen dengan suhu kira-kira 55 darjah Celsius.

“Tiada petunjuk yang mengatakan dia sudah meninggal dunia atau dia tidak mungkin terselamat.

“Selagi tiada kepastian, kita akan terus mencari," kata Limani.

Polis menerima panggilan kecemasan sekitar jam 1 pagi Selasa daripada ahli keluarga Pollard yang memaklumkan dia tidak pulang selepas keluar bersama cucunya untuk mencari kucing peliharaannya pada tengah hari Isnin.

Polis kemudiannya menemui kenderaan yang dipandu Pollard diparkir berhampiran sebuah restoran. Cucu perempuannya yang berusia lima tahun ditemui selamat di dalam kenderaan tersebut, namun tidak dapat memberi maklumat yang dikehendaki pihak berkuasa tentang apa yang mungkin terjadi pada neneknya.

Lubang tanah jerlus itu terletak hanya beberapa meter dari lokasi kenderaan itu diparkir.

“Menyedari hal itu, kami yakin ada sesuatu yang buruk telah berlaku,” ujar Limani.

Pihak berkuasa percaya tanah jerlus itu muncul pada yang sama Pollard hilang.

“Lubang ini berdekatan dengan kawasan perumahan. Kalau ia sudah lama muncul, mesti sudah ada penduduk yang buat laporan,” kata Limani.

Tiada ulasan: