"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Cabul remaja bomoh dipenjara 50 tahun, 16 sebatan

Sinar Harian
Zemi (kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen pada Selasa. -Sinar Harian
MELAKA: Seorang bomoh yang juga bekas jurulatih muay thai dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan 16 sebatan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa, atas empat tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan dipercayai bagi tujuan mengubati sihir.

Zemi Rahim, seorang bomoh dan bekas jurulatih muay thai, dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan 16 sebatan atas empat tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan.

Zemi menggunakan alasan mengubati sihir untuk mendekati mangsa dan melakukan serangan seksual di kawasan semak dan taman perindustrian.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak, menjadikan Zemi perlu menjalani hukuman penjara selama 15 tahun.

Tertuduh, Zemi Rahim, 51, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.

Berdasarkan empat pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berusia 16 tahun dua bulan di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya dan taman perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng.

Kesemua perbuatan itu dilakukan pada awal, pertengahan dan akhir September serta 9 Oktober tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh telah datang ke rumah mangsa bagi tujuan mengubati ibu saudaranya namun telah memberitahu ibu mangsa berusia 48 tahun kononya anaknya juga mempunyai pendamping.

Tertuduh kemudian telah datang ke rumah mangsa pada kira-kira 12.30 malam awal September 2023 dan mahu mengubatinya di kawasan Malim sebelum mangsa mengikuti tertuduh yang ditemani bapa saudaranya.

Apabila tiba di kawasan semak, tertuduh meminta bapa saudara mangsa membeli air sirap dan nasi ayam kerana mahu memberi makan kepada makhluk halus yang mendampingi mangsa.

Ketika ketiadaan bapa saudara, tertuduh mengambil kesempatan mencabul mangsa menyebabkan dia tidak menceritakan kejadian itu kepada sesiapa kerana takut.

Tertuduh kemudian mengulangi perbuatan sama pada hari lain seperti pertuduhan sehingga mangsa tidak tahan dan menceritakan semua perbuatan tertuduh terhadapnya sebelum ini.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asnini Kamarudin memohon hukuman setimpal kerana mangsa baru berusia 16 tahun dan masih bersekolah selain telah mendatangkan trauma kepadanya.
Tindakan tertuduh terhadap mangsa sebanyak empat kali juga menunjukkan tertuduh dengan sengaja mengambil kesempatan terhadap faktor fizikal mangsa.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dan bapa kepada empat anak bagaimanapun memohon hukuman berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijatuhi hukuman penjara 50 tahun dan 16 sebatan bagi kesemua empat pertuduhan.

Selain itu hukuman penjara diarah berjalan serentak dari tarikh ditangkap pada 16 Oktober tahun lalu menjadikan tertuduh perlu menjalani hukuman 15 tahun penjara. -Sinar Harian

Tiada ulasan: