Agensi
LELAKI itu terperangkap dalam telaga berkenaan sejak tiga hari tiga malam. FOTO Facebook
Bangkok: Jeritan dari dalam perigi buta yang sudah lama terbiar di Mae Sot, wilayah Tak dan disangkakan 'suara hantu', baru-baru ini, sebenarnya rayuan meminta tolong oleh seorang lelaki terperangkap di dasar telaga sedalam 12 meter (m) itu.
South China Morning Post (SCMP) melaporkan telaga kering itu terletak di dalam hutan menyebabkan penduduk kampung berhampiran tidak menyangka ada manusia di dalam telaga berkenaan.
Akibatnya, lelaki warga China berkenaan terperangkap selama tiga hari kerana suara didengari seperti bunyi mengilai.
The Universal Daily News di Thailand melaporkan bahawa pada 24 November, polis tempatan di Mae Sot, wilayah Tak, berhampiran sempadan Thai-Myanmar, menerima laporan daripada penduduk kampung yang mendengar jeritan dari hutan berhampiran.
Ketika polis dan anggota penyelamat yang meneroka ke dalam hutan itu untuk menyiasat bunyi aneh itu, sebelum panggilan mereka disambut dengan suara mangsa.
Mengikut sumber bunyi itu, mereka kemudian menemukan seorang lelaki terperangkap di dasar telaga kering sedalam 12 m.
Operasi menyelamat berlangsung selama 30 minit, dan lelaki itu ditemukan dalam keadaan lemah dengan patah pergelangan tangan kiri, mengalami gegaran otak, dan lebam di seluruh badannya.
Dia segera dibawa ke hospital untuk rawatan perubatan.
Menerusi penterjemah, lelaki yang dikenali sebagai Liu Chuanyi, 22, mendedahkan dia terperangkap dalam perigi selama tiga hari dan malam, tanpa makanan atau air.
Untuk mengekalkan kekuatannya, dia menjerit meminta tolong hanya sekali setiap jam.
Penduduk berhampiran melaporkan mendengar bunyi aneh dari hutan. Dalam tempoh tiga hari terutamanya pada waktu malam, bunyi itu semakin kuat.
Menganggap bunyi ini sebagai 'suara hantu', mereka mengelak keluar selepas gelap dan tidak berani menyiasat sumbernya.
Apapun Liu lega kini sudah keluar daripada zon bahaya dengan pasukan penyelamat mengesyaki dia merayau ke dalam hutan dan secara tidak sengaja terjatuh ke dalam perigi ketika cuba mencari jalan keluar.
Sebab di sebalik kehadirannya di sempadan Thailand-Myanmar masih tidak jelas, tetapi pihak berkuasa menghubungi jabatan imigresen untuk menyiasat punca lelaki itu berada di kawasan berkenaan.
-hmetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan