Amirul Aiman Hamsuddin
am@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Wanita warga asing ditahan bagi membantu siasatan kes kemalangan membabitkan murid tahun satu di kawasan flat dekat Bukit Sentosa, di sini, 28 November lalu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, wanita berusia 46 tahun itu ditahan selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Triton dipandunya dipercayai melanggar kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun.
Bagaimanapun ketika ditanya lanjut sama ada individu itu sudah dirakam keterangannya, Ahmad Faizal enggan mengulas lanjut.
"Saya hanya sahkan wanita terbabit ditahan untuk siasatan lanjut iaitu bawah Akta Imigresen," katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, malam ini.
Media sebelum ini melaporkan kejadian pada jam 6.15 petang berlaku ketika mangsa mahu melintas jalan.
Ahmad Faizal dipetik berkata, sebaik turun dari van sekolah kanak-kanak itu dikatakan menuju ke belakang van untuk melintas jalan sebelum dilanggar Mitsubishi Triton menyebabkan kaki kirinya patah.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan