"Ya Tuhanku ampunilah aku, rahmatilah aku,
perbaikilah aku, angkatlah darjatku, berilah aku rezeki, pimpinlah aku, afiatkanlah aku dan maafkanlah aku."

Rumah hanya tinggal bumbung, dinding dibawa arus Sungai Golok

Siti Rohana Idris
am@hmetro.com.my
Keadaan rumah Nariza di Kampung Naga Ibu, Pengkalan Kubor yang hanya nampak bumbung disebabkan banjir dan limpahan air Sungai Golok setinggi dua meter.FOTO IHSAN NARIZA ARIFFIN
Keadaan rumah Nariza di Kampung Naga Ibu, Pengkalan Kubor yang hanya nampak bumbung disebabkan banjir dan limpahan air Sungai Golok setinggi dua meter.FOTO IHSAN NARIZA ARIFFIN
Tumpat: "Rumah hanya tinggal bumbung sahaja manakala sebahagian dinding pula sudah tertanggal dibawa arus sungai," kata mangsa banjir, Nariza Ariffin, dari Kampung Naga Ibu, Pengkalan Kubor.

Nariza, 48, berkata meskipun paras air di luar rumah kini masih melebihi dua meter (m), dia serta suami dan dua anak tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sebaliknya berlindung di rumah bapanya yang berjiran dan dibina tinggi.

Menurutnya, bukan dia tidak mahu berpindah tapi bapanya enggan meninggalkan rumah sekaligus mereka tidak sanggup meninggalkan warga emas berusia 80 tahun itu.

"Rumah kami terletak kurang 100 m sahaja dari Sungai Golok dan paling awal menerima limpahan air dan kali ini paras dalamnya membimbangkan.

"Walaupun rumah ayah dibina tinggi tetapi air tetap melimpah masuk ke dalam rumah dan keadaan semakin teruk apabila bekalan elektrik terputus sejak beberapa hari lalu.

"Paras air menurun tapi perlahan dan paras semasa air di sekitar rumah kira-kira 2 m dan rumah saya masih tenggelam hanya nampak bumbung sahaja," katanya.

Nariza berkata oleh kerana rumahnya dibina di tepi Sungai Golok, pergerakan bot laju selain arus deras ketika limpahan air menyebabkan sebahagian dinding rumah terkopak," katanya ketika dihubungi.

Katanya lagi, banjir yang datang kali ini sangat teruk dan keadaan kampungnya seolah-olah sudah bercantum dengan negara jiran disebabkan tiada darat yang kelihatan berbanding banjir sebelum ini.

"Oleh kerana tiada bekalan elektrik untuk mengecas, saya mengirimkan telefon bimbit kepada penduduk kampung yang datang menjenguk kawasan sekitar untuk dicas di tempat yang ada bekalan elektrik," katanya.

Tiada ulasan: