KHAIRUL MOHD. ALI
SEORANG wanita Indonesia yang mengaku sebagai warga tempatan antara 24 PATI ditahan JIM Johor dalam operasi di Taman Tampoi Indah, Johor Bahru.
JOHOR BAHRU – Taktik seorang wanita Indonesia yang mengaku sebagai warganegara tempatan sebelum cuba melarikan diri semasa pemeriksaan dilakukan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor gagal mengaburi pihak berkuasa.
Pengarah JIM Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, wanita berusia 30-an itu antara 24 warga asing ditahan pihaknya menerusi serbuan di Taman Tampoi Indah, di sini, Ahad lalu.
Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada individu warga Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Sri Lanka berusia antara 20 hingga 45 tahun.
“Semasa pemeriksaan, seorang wanita Indonesia telah mengaku sebagai warga tempatan dan tidak mahu bekerjasama menunjukkan pengenalan diri. Wanita tersebut melakukan provokasi dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Rusdi, serbuan menerusi Ops Selera, Ops Dandan, Ops Minyak, Ops Kutip dan Ops Belanja itu turut menyaksikan 12 Notis hadir ke pejabat dikeluarkan JIM Johor bagi membantu siasatan.
“Kesemua tahanan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika, di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan